Tell, sebuah syarikat produksi teknikal sukan global, memilih Kuala Lumpur menjadi hab Asia Tenggara bagi mengembangkan potensi produksi teknikal yang inovatif.
Pengarah Syarikat dan pengasas Tell, Tom Ellis berkata, lokasi yang strategik dan peluang yang tersedia di Kuala Lumpur merupakan pilihan terbaik seiring dengan pertumbuhan pesat syarikat sejak penubuhannya pada tahun 2020.
“Kami di Tell telah memilih Kuala Lumpur sebagai rumah terbaru kami di Asia Tenggara. Masyarakatnya, budaya serta peluang yang tersedia di Kuala Lumpur dan Asia Tenggara bersesuaian dengan visi kami untuk mencipta pengalaman luar biasa menerusi produksi teknikal yang berinovasi.
“Pemilihan Bukit Jalil sebagai lokasi pejabat adalah kerana kemudahan dan aktiviti sukan yang tersedia, seperti bola sepak, badminton dan rugbi. Selain itu, lokasi ini turut menempatkan stadium bertaraf dunia serta ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia,” jelas Tom.

Pengumuman pembukaan pejabat di Kuala Lumpur ini turut selari dengan pertumbuhan pesat Tell, yang mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 86.6 peratus dari tahun kewangan 2020/2021 hingga 2023/2024.
Selain itu, Tell juga telah mengukuhkan pasukan kepimpinan kanan mereka dengan melantik pakar produksi Jack Nicklin sebagai Pengarah Urusan di United Kingdom. Nicklin mempunyai pengalaman luas dalam industri ini, setelah berkhidmat dengan World Rugby, IMG, Channel 4, BBC, Cricket Australia, dan BBC Sport.

Tell terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri dengan kejayaan mereka mementaskan produksi sukan global seperti FIFA Club World Cup 2022 & 2023, AFC Asian Cup 2023, ASEAN Mitsubishi Electric CupTM 2024, Futsal World Cup 2024, England A vs Australia A Rugby Union 2024 , 26th Arabian Gulf Cup 2024 .
Sebagai syarikat produksi teknikal yang inovatif, Tell turut menawarkan perkhidmatan termasuk pengurusan produksi jarak jauh, penyiaran langsung, pengedaran kandungan sukan, dan penyampaian grafik. Penggunaan teknologi terkini seperti kit penyiaran “flyaway”, hub produksi jarak jauh berskala besar, dan pengekodan 5G menjadikan Tell sebagai peneraju dalam industri.

