INISIATIF Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil organisasi dan pengamal media ialah langkah yang wajar dipuji dalam menangani isu mendesak seperti kelewatan pembayaran gaji, kehilangan pekerjaan dan kebajikan keseluruhan petugas media, kata Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan dan berharap Fahmi akan turut mengadakan pertemuan serupa dengan wakil daripada organisasi berita Tamil dan Cina bagi memahami cabaran khusus dihadapi mereka.
“Memastikan keterangkuman semua sektor media adalah penting dalam memperkukuh landskap media yang pelbagai di Malaysia.
“Dengan mengambil serius isu ini dan berusaha mencari penyelesaian jangka panjang, saya percaya inisiatif Fahmi memberikan contoh terbaik dalam melindungi kebebasan media, menjaga hak pekerja dan memastikan kemampanan bidang kewartawanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi bertemu kira-kira 30 wakil organisasi media, membincangkan kebajikan pengamal media di Bangunan Parlimen, semalam.
Baca artikel lain: Pembangkang tak ikut titah tuanku guna dewan untuk pupuk perpaduan – Fahmi
Dalam pada itu, Yuneswaran membangkitkan isu terkini mengenai petugas Petra News yang dibelenggu dengan masalah kelewatan pembayaran gaji dan tunggakan caruman berkanun, yang disifatkannya sebagai amat membimbangkan.
“Keadaan ini menunjukkan masalah yang semakin ketara dalam industri … sesetengah majikan gagal memenuhi tanggungjawab mereka, membiarkan pengamal media ini terkesan,” katanya.
Selain organisasi berita berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau berkata organisasi berita berbahasa Tamil dan Cina turut berdepan cabaran, sebagai contoh penutupan akhbar Tamil tertua di Asia Tenggara, Tamil Nesan, pada 2019 selepas beroperasi selama 96 tahun sejak penubuhan pada 1924.
“Oleh itu, seperti Tamil Nesan, cabaran dihadapi media vernakular termasuk kekangan kewangan dan perubahan corak pembacaan, harus diberi perhatian yang sama,” katanya.
Yuneswaran berkata komitmen Fahmi untuk mengadakan sesi libat urus secara berkala mencerminkan pendekatan proaktif dalam melindungi pengamal media daripada layanan tidak adil serta memperkukuh daya tahan industri.
Beliau berkata sokongan kerajaan menerusi inisiatif seperti Tabung Kasih@HAWANA juga membuktikan komitmen berterusan dalam membantu petugas media yang terjejas ketika berdepan kesukaran.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

