Anjung Syawal cipta sejarah, perkenal lagu tema “Raya Sebenarnya”. Sasar jualan RM10 juta

Dari Penulis

Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang, Anjung Syawal di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 melakar sejarah tersendiri apabila memperkenalkan lagu tema dan muzik video berjudul ‘Raya Sebenarnya’ buat pertama kali sejak dianjurkan 13 tahun lalu.

Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, lagu tema ini dibuat sebagai satu kelainan dalam memberi kesegaran kepada Anjung Syawal.

Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal.

“Kita tidak boleh menafikan pengaruh selebriti dan pempengaruh di media sosial yang memainkan peranan penting dalam menyerikan Anjung Syawal.

“Justeru menerusi lagu dan video muzik, semuanya membantu menyampaikan kemeriahan menyambut Ramadan untuk membuat persiapan Hari Raya nanti. Apabila gabungan lagu dan muzik tema dapat dipromosikan kepada orang, secara tidak langsung mereka akan tertarik untuk melawat datang ke Festival Ramadan Putrajaya 2025,” katanya pada majlis pelancaran Anjung Syawal di Presint 3, Dataran Putrajaya.

Dalam pada itu, berkongsi daripada kaca mata seorang penganjur, kata Rayme, dia melihat perkembangan positif bagi usahawan memandangkan sambutan yang diterima daripada pengunjung tahun lalu sangat menggalakkan.

Anjung Syawal yang bakal diadakan selama 33 hari mulai 28 Februari di Dataran Putrajaya menyasarkan jualan merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran menjangkau nilai RM10 juta.

“Kami telah berjaya menjual 320 lot niaga di Anjung Syawal dengan bayaran sewa penuh di mana ia melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot niaga. Apa yang mengejutkan, tawaran lot niaga ini hanya dibuka secara rasmi pada awal Januari lalu.

“Sambutan menggalakan ini berjaya menepis dakwaan Bazar Aidilfitri tahun ini tidak akan meriah seperti kebiasaan namun sebaliknya sambutan lot niaga di Anjung Syawal.

“Malah, jika tahun lepas ada yang mengambil 2 reruai, tahun ini mereka tambah sehingga 6 reruai kerana sambutan luar biasa. Ada jenama yang membuat jualan lebih RM500,000 tahun lalu dan paling minimum setiap lot niaga menjana jualan RM30,000 sebulan,” katanya.

Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun di negara ini.

Mengulas lanjut, Rayme yang juga penyanyi memberitahu, konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.

Menurut beliau, pihaknya juga berhasrat menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini, seterusnya berusaha menarik minat semua golongan masyarakat mengenali budaya bangsa terutama generasi muda.

“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar.

“Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen ‘Pangkin Seni dan Serambi Santai’ bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirehat.

“Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini, khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga,” katanya.

Rayme menambah, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3, Putrajaya bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung.

“Dengan harga bayaran yang rendah, kami berharap kemudahan parkir ini dapat memudahkan urusan pengunjung mencari barangan atau mengikuti aktiviti yang dijadualkan nanti,” ujarnya.

Rayme menerangkan, lokasi Anjung Syawal ini juga menjadi pilihan orang ramai setiap tahun kerana ia berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memudahkan mereka menunaikan solat berjemaah dan juga bersolat tarawih.

Pada majlis itu, buat pertama diadakan pelancaran memperkenalkan lagu tema dan video muzik Anjung Syawal iaitu Raya Sebenarnya nyanyian duet Rayme bersama penyampai radio, Feeya Iskandar atau Cik Piah.

Turut diadakan kolaborasi Anjung Syawal dan Yang Riang Raya bersama pempengaruh popular, Pinn Yang selain melibatkan golongan selebriti yang berniaga antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Integrasi NeuroStream™ Pemangkin Bandar Pintar, Neurovia AI Lantik Rashed Aleghfeli Peneraju Operasi Timur Tengah

SYARIKAT gergasi penyedia teknologi automasi maklumat global, Robo.ai Inc. (NASDAQ: AIIO), secara rasminya mengumumkan pelantikan tokoh korporat terkemuka Emiriah...

More Articles Like This