
PENULIS agak pelik apabila Datuk Fahmi Fadzil ‘diserang’ dalam media sosial oleh kelompok tertentu yang tidak berpuashati dan bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila Menteri Komunikasi itu menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, semalam sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.
Darjah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim – seorang Raja yang sememangnya dikenali cukup teliti dalam menganugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada mana-mana individu waima melibatkan Menteri Kabinet sekalipun.
Penulis sekadar mahu mengingatkan apa yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim pada 19 Mac 2024 di Istana Negara sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024. Antara lain Seri Paduka yang ketika itu kira-kira baru dua bulan menjadi Yang di-Pertuan Agong dengan tegas bertitah;
‘’Pengurniaan itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada Wilayah Persekutuan, dengan pemilihan teliti telah dibuat. Saya sendiri telah meneliti setiap calon yang disediakan Jawatankuasa Pemilihan dan tahun ini saya membuat keputusan hanya 36 orang penerima sahaja benar-benar layak untuk dianugerahkan.’’
Untuk tahun 2025, jumlah penerima terus berkurangan apabila hanya 32 individu yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Fahmi menerima anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.
Sudah pasti Dr.Zaliha penerima Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Fahmi telah melalui proses teliti oleh Seri Paduka sendiri. Jangan lupa Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor amat dikenali sebagai Sultan yang tidak sewenang-wenangnya memberi anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat.
Seri Paduka amat tegas dalam soal penganugerahan berkenaan. Atas sebab itulah pada 7 September 2024 – Sultan Ibrahim memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.
“Suka saya nyatakan di sini bahawa setiap pencalonan dibawa oleh kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Oleh itu jika ada pihak mempertikaikan anugerah yang diberikan oleh Sultan Ibrahim kepada Fahmi atau mana-mana individu ia menunjukkan pihak berkenaan bukan sahaja tidak menghormati institusi istana tetapi juga seolah-olah mempertikaikan kebijaksanaan Seri Paduka.
Soalnya apa dosa Fahmi sehingga anak kelahiran Kuala Lumpur pada 4 Februari 1981 itu yang kini akan memasuki penggal kedua menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dianggap tidak layak menerima pingat berkenaan?
Adakah Fahmi langsung tidak melakukan jasa kepada Wilayah Persekutuan? Bukankah Parlimen Lembah Klang berada dalam Wilayah Persekutuan? Bukankah Fahmi sudah terbukti berjasa di kawasan berkenaan sejak 2018? Kalau beliau tidak melakukan apa-apa jasa kepada masyarakat mana mungkin perolehan undi majoriti beliau meningkat kepada 13,912 undi pada PRU-15 berbanding 5,598 undi ketika kali pertama bertanding pada PRU-14 (2018).
Begitu juga di peringkat pusat, Fahmi sudah membuktikan kewibawaan beliau sebagai Menteri Komunikasi dan sebelum itu Menteri Komunikasi dan Digital. Beliau juga berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Ke-17.
Malah beliau juga dianggap cemerlang ketika mengendalikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan tersebut pada 2023 dan 2024. Justeru janganlah kerana akibat kebencian politik kita membutakan hati dan menutup fikiran untuk menilai sesuatu dengan adil.
Begitulah juga dalam soal anugerah diterima oleh Fahmi, pasti pemilihan beliau dibuat dengan teliti oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang sudah menegaskan ia diberikan kepada individu yang berjasa kepada masyarakat dan negara.
Kita mungkin hanya melihat Fahmi melalui laporan-laporan media tetapi adakah kita tahu apa yang lakukan tanpa liputan media dalam memberi kesejahteraan kepada masyarakat dan negara? Siapa kita untuk menilai seseorang itu layak atau tidak? Janganlah kerana kebencian kepada seseorang, kita tidak bertindak adil dalam menilai.
Sebab itulah dalam surah Al-Maidah ayat 8 Allah SWT mengingatkan:
“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, membuatmu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” .
Rasulullah SAW mengingatkan orang berpuasa melalui sabda baginda yang bermaksud;
“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”. (hadis riwayat Abu Hurairah R.A)
Kesimpulannya, hentilah ‘kerja-kerja bodoh’ seperti mengutuk dan mengeji orang lain sehingga menggugurkan pahala puasa kita termasuklah mempertikaikan darjah kebesaran yang diterima oleh Fahmi.
Sekurang-kurangnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu terbukti telah dan senang menabur jasa untuk rakyat serta negara, tetapi bagaimana pihak yang mengutuk beliau ? Adakah berasa diri sudah cukup hebat sehingga boleh mempertikaikan keputusan Istana? Belajarlah cerminkan diri.
Ingatlah ketika syaitan dan iblis sudah dibelenggu pada bulan Ramadan ini, janganlah pula ada antara kita ‘mengambil tugas’ makhluk itu apabila mempersoalkan anugerah diterima oleh Fahmi.
.

