Pelesenan media sosial cetus suasana dalam talian lebih selamat

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

USAHA kerajaan melaksanakan pelesenan media sosial menerusi Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) bagi penyedia platform mampu mencetuskan suasana dalam talian yang lebih selamat dalam jangka masa panjang.

Menerusi pelesenan media sosial itu, segala kandungan berunsur negatif mampu ditangani sewajarnya daripada terus ‘menghiasi’ laman sosial sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

Menyifatkan usaha kerajaan itu sebagai langkah berani, Eksekutif Kewangan, Randy Ohera, 26, berkata, sudah tiba masanya penyedia media sosial bertanggungjawab atas kandungan yang dimuat naik ke platform berkenaan.

Pada masa sama, Randy berkata, hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM1 juta atau 10 tahun penjara selepas pindaan akta itu dilakukan merupakan tindakan wajar.

Kata beliau, ia kerana penyedia media sosial seakan ‘terlepas’ apabila berlakunya perkara tidak diingini dalam masyarakat.

Randy memaklumkan, tindakan itu perlu dilakukan apatah lagi media sosial telah menjadi ‘lubuk’ bagi aktiviti jenayah termasuk scam dan penjenayah seksual.

“Sememangnya sejak kebelakangan ini kita dengar makin banyak kes jenayah berlaku dalam media sosial tambah lagi apabila makin banyak platform media sosial.

“Persepsi orang ramai terhadap langkah kerajaan pada mulanya saya lihat agak skeptikal tetapi apabila diberi penerangan bahawa pelesenan ini dikenakan hanya kepada penyedia platform, saya rasa itu sangat wajar dilakukan.

“Ia merupakan satu tindakan yang berani tetapi perlu dilaksana kerana kalau kita tak dapat kawal penyedia platform media sosial, kes jenayah siber akan semakin berleluasa,” katanya kepada UtusanTV.

Sementara itu, penunggang p-hailing, Andrian Asril, 34, bersetuju dengan langkah dilaksana kerajaan kerana ia bukan sahaja dapat mengawal suasana secara dalam talian tetapi meredakan ketegangan dalam negara.

Baca artikel lain: Patuhi adab berbicara dalam media sosial

Malah, Andrian berkata, tindakan pelesenan media sosial itu boleh memastikan Malaysia dengan rakyat berbilang kaum terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Saya ada terbaca tentang langkah kerajaan menerusi pelesenan media sosial ini dan saya menyokong.

“Sudah tentu kerajaan juga mempertimbangkan apa yang dimahukan rakyat apatah lagi saya lihat kes buli siber ini semakin banyak berlaku.

“Cuma saya harap perkara ini dapat ditangani secara positif,” katanya.

1 Januari 2025 menandakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi dikuatkuasakan.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 27 Julai 2024, mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

Setakat ini, tiga pengendali media sosial, TikTok, WeChat dan Telegram telah pun mendapatkan lesen media sosial masing-masing.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan tiga lagi pengendali platform media sosial iaitu Meta, Google serta X (dahulunya Twitter) masih dalam proses mendapatkan lesen.

Menurut Fahmi, X yang dimiliki bilionair teknologi Elon Musk terus mendakwa bahawa ia tidak mempunyai bilangan pengguna yang diperlukan di Malaysia iaitu melebihi lapan juta untuk memerlukan lesen media sosial.

Meta pula yang memiliki dan mengendalikan Facebook, Instagram, Threads dan WhatsApp telah menyatakan minat untuk bertemu dengan MCMC bagi membincangkan perkara itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Wanita putus kaki kiri Proton X70 terbabas langgar pembahagi jalan di LPT2

SEORANG wanita putus kaki sebelah kiri sebelah kereta jenis Proton X70 dinaikinya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer...

More Articles Like This