SELEPAS lapan hari dibuka, petisyen untuk menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau menempatkan mereka semula di negara ketiga telah mencecah hampir 350,000 tandatangan.
Semakan di laman web Change.org mendapati petisyen bertajuk ‘Remove Rohingya from Malaysia’ merekodkan 346,554 tandatangan setakat pukul 10 pagi tadi.
Jumlah tersebut meningkat hampir 30,000 ketika kali terakhir semakan dilakukan UtusanTV kira-kira 15 jam sebelum itu.
Petisyen di platform change.org itu dilancarkan oleh akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei dengan menyasarkan sejuta tandatangan.
Menurutnya, peningkatan jumlah etnik Rohingya telah memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara, sekali gus menuntut pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian tuntas.
“Kami memahami aspek kemanusiaan dalam situasi itu, tetapi kami percaya pendekatan semasa tidak mampan.
“Adalah penting bagi Malaysia untuk mengutamakan kebajikan dan kestabilan rakyatnya sendiri sambil mengusahakan penyelesaian yang berperikemanusiaan untuk pelarian. Marilah kita bersatu demi kemajuan bangsa,” katanya.
Pada masa sama, penganjur turut menggesa kerajaan merangka pelan menyeluruh bagi menangani isu tersebut berikutan wujudnya kebimbangan berkaitan aspek keselamatan.
Kontroversi membabitkan etnik berkenaan mula mendapat perhatian susulan aduan penduduk mengenai pengurusan sisa selepas penyembelihan lembu untuk ibadah korban, ia mencetuskan perdebatan hangat mengenai kehadiran pelarian Rohingya di Malaysia.
Aduan yang pada awalnya tertumpu kepada aspek kebersihan kemudiannya berkembang menjadi perbahasan lebih luas di media sosial mengenai status dan peranan komuniti Rohingya di negara ini.
Terdahulu, Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menegaskan sebarang tuntutan penempatan Rohingya telah menyentuh sensitiviti kedaulatan negara.
Beliau menyifatkan sebarang tuntutan yang mendesak Malaysia memberikan penempatan tetap kepada pelarian sebagai tindakan yang tidak wajar kerana ia menyentuh sensitiviti kedaulatan negara.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

