SEORANG wanita putus kaki sebelah kiri selepas kereta jenis Proton X70 dinaikinya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, petang semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 57 tahun putus kaki kiri dari paras lutut ke bawah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Hazamullah Abdullah memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.41 petang.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kereta Proton X70 itu dinaiki lima individu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
“Mangsa yang mengalami putus kaki kiri berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Bahagian kaki yang terputus turut ditemukan dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Hazamullah berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
“Empat lagi mangsa di dalam kenderaan itu turut cedera dan dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

