Rodtang, juara ONE Championship menjadi bualan hangat apabila tampil segak dengan baju Melayu berwarna hitam, lengkap dengan bersamping ketika sesi Face-Off bersama Takeru Segawa baru-baru ini.
Menerusi perkongsiannya di laman sosial @Onecahampionship, Rodtang menunjukkan sokongan dan rasa bangga menggayakan baju melayu Elrah Exclusive pada acara itu, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“This is the month of Ramadan, so I’m wearing this to represent Muslim,” kongsinya.
Pengasas jenama terkenal Elrah Exclusive, Muhd Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman turut memuat naik video Rodtang yang kelihatan bangga mengenakan pakaian tradisional Melayu tersebut.
“Bila seorang juara dunia mengenakan Baju Melayu di pentas global seperti @ONE Championship Tokyo, itu bukan sekadar kain yang membalut tubuh itu adalah maruah, warisan dan identiti yang dijulang.
“Jika bukan kita yang mengangkat kebanggaan bangsa, siapa lagi? Jika bukan kita yang memperkenalkan pakaian warisan ke mata dunia, siapa yang akan peduli?
“Kita bukan sekadar melihat sejarah kita sedang menulisnya. Dari silat ke muay thai, dari warisan ke dunia moden, Baju Melayu bukan sekadar pakaian, ia adalah lambang perjuangan kami @elrahexclusive @Elrahworldwide .
“Hari ini, seorang juara memakainya di gelanggang. Esok, dunia akan tahu ini warisan kita, ini identiti kita,” tulisnya dalam hantaran di TikTok.
Pemilihan baju melayu berwarna hitam yang digayakan Rodtang juga merupakan simbolik bagi kekuatan, keanggunan dan misteri, kongsi El dalam satu hantaran lain.
“Warna hitam bukan sekadar warna, tetapi simbol dengan makna yang mendalam. Warna ini sering dikaitkan dengan kekuatan, keberanian, keanggunan, serta misteri. Namun, di sebalik kemegahannya, hitam juga dapat mewakili kesedihan, kesunyian, dan ketegasan.
Penggunaan warna hitam dalam Seni dan Design
Dalam dunia seni dan desain, warna hitam digunakan untuk menciptakan kesan dramatis, elegan, dan misterius. Ia sering digunakan sebagai latar untuk menonjolkan elemen lain atau sebagai warna utama dalam konsep minimalis yang menekankan ketegasan dan keanggunan.
Dari sudut psikologi, warna hitam memiliki dua sisi. Ia dapat memberi rasa kekuatan, keberanian, dan keyakinan, tetapi pada masa yang sama, juga dapat menimbulkan perasaan terisolasi, kesepian, dan keseriusan. Warna ini sering dikaitkan dengan otoritas dan ketegasan, menjadikannya pilihan utama dalam dunia fesyen, bisnis, dan branding eksklusif”.
Pertarungan antara Rodtang Jitmuangnon dan Takeru Segawa pada 23 Mac nanti sememangnya menjadi topik hangat dalam kalangan peminat seni bela diri. Dijadualkan berlangsung di Saitama Super Arena, Jepun di bawah acara ONE 172, ia bakal menyaksikan dua jaguh itu bertarung dalam aksi penuh debaran.
Kejayaan Elrah Exclusive kini mencapai satu garis yang cukup membanggakan kerana bukan sahaja berjaya menembusi pasaran Asia, namun jenama ini dibawa di pentas sukan dunia di Tokyo.


Malah, kolaborasi antara Elrah Exclusive dan Rodtang Jitmuangnon merupakan satu gabungan yang menarik antara dunia fesyen dan sukan tempur.

