‘Hey June’ menjadi koleksi pertama sentuhan Scha Al-Yahya dibawah jenama label sendiri. Koleksi tas tangan ini menjadi simbolik kasih sayang Scha dan didedikasikan istimewa buat arwah ibunya, Junainah Hashim yang meninggal dunia pada 7 Disember tahun lalu.

Jelas Scha, bergelar ikon fesyen dalam industri memberikan inspirasi buatnya untuk memiliki jenama sendiri. Malah dorongan arwah ibu menjadi antara dorongan utama tercetusnya Ayaaya.

“Saya telah berada dalam industri pada masa yang agak lama dan ia memberi inspirasi untuk memiliki jenama sendiri dan berkongsi apa yang saya suka bersama peminat.
“Pada mulanya ia bermula hanya sekadar borak-borak suami isteri bersama Awal dan saya punya impian untuk ada jenama sendiri.

“Saya seorang yang minimal dalam mengekspresikan citarasa dan fesyen, dan Ayaaya memberikan satu ‘fashion statement’ buat pemakai dengan rekaan dan pilihan warna yang cukup berani,” kongsinya.

Kita hanya mampu merancang, namun hanya Allah yang menentukan. Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, koleksi yang sepatutnya menjadi ‘holiday collection’ diubah pada saat akhir selepas detik dia kehilangan ibunda tercinta.
Gagal menahan sebak tika bercerita detik perjalanan istimewa Ayaaya yang sepatutnya diraikan bersama ibu tercinta, jelas Scha dia mahu mendedikasikan koleksi pertama kepada arwah ibu sebagai simbolik kasih sayang.

“Cerita disebalik Ayaaya agak berat di mana arwah ibu ada bertanya bila nak ada jenama sendiri. Selalunya saya akan berkongsi banyak koleksi beg tangan bersama arwah ibu. Dan banyak juga yang dia simpan dan tidak pernah dipakai.
“Ibu kata dia teringin nak lihat jenama saya sendiri dan Hey June merupakan tribute kepada ibu saya. Koleksi ini adalah mengenai kasih sayang dan positiviti,” jelas Scha.

