Azimah antara penerima sumbangan KWC Fashion Wholesale, terus bergantung rezeki jadi ‘rider’ makanan

Dari Penulis

Tidak mampu menahan air mata tatkala berkongsi cerita akan kisah hidupnya bersama anak. Azimah Abd Rahim, 40, pernah tular sebelum ini apabila kisahnya sebagai penghantar barangan dan makanan serta terpaksa mengusung anak akibat desakan hidup menjadi perhatian.

Jelas ibu tunggal ini, sehingga kini dia masih membawa anaknya, Ainul Zahirah Rashidi, lapan tahun, ketika bekerja. Malah dia terpaksa berpindah ke Flat Sri Selangor, Pudu yang dibiayai Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi.

“Sehingga sekarang saya masih mencari rezeki melalui khidmat e-hailing berbekalkan motosikal pemberian arwah ibu berusia lebih 10 tahun.

“Saya terpaksa membawa anak kerana bimbang mahu meninggalkannya dengan individu lain berikutan perangai Ainul yang mudah meragam selain menghidap Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD).

“Setakat ini saya mampu meraih pendapatan antara RM50 hingga RM70 sehari dan saya tidak menjalankan kerja sepenuh masa. Duit ini digunakan untuk membeli makanan dan lampin pakai buang selain ubat-ubatan bagi kegunaan anak,” kongsinya.

Mengakui ada individu yang menawarkan pekerjaan yang lebih menjamin masa depan, namun cabarannya cuma satu, siapa mahu menjaga anaknya?

Malah sehingga kini dia terpaksa menangguhkan pembedahan membuang ketumbuhan di dalam rahim kerana bimbang akan nasib anaknya.

“Saya mula menempuh kesukaran hidup selepas berpisah dengan suami empat tahun lalu. Saya terpaksa mencari rezeki sendiri untuk meneruskan hidup.

“Saya ada terima tawaran kursus kerja di Perak selama tiga bulan, namun yang menjadi masalah ialah siapa akan menjaga anak saya kerana dia kanak-kanak kelainan upaya (OKU) yang tidak boleh bercakap serta cacat penglihatan sejak lahir.

“Malah sehingga kini saya terpaksa tangguhkan pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim, jika saya duduk lama di hospital, siapa akan jaga dia?” kata Azimah tidak mampu menahan sebak.

Azimah ditemui ketika majlis sumbangan baju raya dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Iltizam Relief Society (Iltizam) dan KWC Fashion Wholesale.

Turut hadir menyantuni penerima baju raya terdiri daripada anak-anak asnaf dan yatim ini adalah Ketua Projek Ceria Iltizam, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah dan Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC, Wendy Lam.

Terdahulu, sempena Hari Nuzul Quran, KWC Fashion Wholesale bekerjasama dengan Persatuan Penduduk Seri Selangor dan Rukun Tetangga Seri Selangor membawa semangat Ramadan kepada komuniti melalui pengagihan Bubur Lambuk dan penajaan pakaian Raya kepada keluarga Asnaf dari Iltizam Relief Society dan anak yatim dari komuniti di sini.

Selain pengagihan Bubur Lambuk, KWC mengambil peluang untuk menaja nilai makanan Iftar dan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,800 kepada Surau Al-Aslahiyah serta menaja pakaian Raya dengan 23 butik di KWC untuk membolehkan anak yatim dari komuniti ini dan tiga keluarga Asnaf dari Iltizam Relief Society membawa pulang Baju Raya dengan jumlah nilai RM5,400.

“Sinar Ramadan kini menjadi tradisi kami setiap Ramadan pada hari Nuzul al-Quran untuk membawa kita semua bersama-sama menunjukkan kebaikan dan harapan, dan kami berharap bahawa isyarat ini dapat membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada anak-anak ini untuk menyambut Raya seperti kami semua,” kata Wendy Lam, Pengurus Pengiklanan & Promosi KWC Fashion Wholesale.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

MKDS buka cawangan baharu di Putrajaya

Penyedia perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) membuka cawangan baharu di IOI Resort City, Putrajaya dalam...

More Articles Like This