Perpindahan kuil : Ketegasan Anwar elak ‘batu api’ menangguk di air keruh

Dari Penulis

 PENULIS sudah menjangkakan hasrat Kumpulan Jakel mewakafkan tanah milik mereka bagi tujuan khusus membina masjid di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan mencetuskan kontroversi.

Ia terjadi bukan kerana salah Jakel – syarikat itu tidak ada salah apa-apa kerana tanah berkenaan adalah milik mereka yang dibeli daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2012 lagi.

Sebagai pemilik yang sah, Jakel berhak membangunkan tanah itu mengikut kehendak mereka termasuklah mewakafkannya untuk membina masjid. Tetapi kontroversi yang tercetus disebabkan di atas tanah itu ada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Oleh kerana Jakel mahu membina masjid maka rundingan penuh diplomasi dan atas semangat hormat menghormati untuk memindahkan kuil itu ke lokasi lain dilaksanakan dengan pihak kuil. Bagaimanapun ada pihak yang cuba mempolemikkan perkara itu apabila menuduh Jakel mahu merobohkan kuil berkenaan dan paling lucu mereka mencadangkan Jakel membina masjid di tempat lain.

Aneh… itu tanah Jakel, yang membeli tanah itu Jakel, yang menjadi pemilik sah ialah Jakel…kenapa pula Jakel perlu mencari tempat lain untuk membina masjid sedangkan mereka ada tanah sendiri?

Atas sebab itulah, penulis bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan mahu menjadi jaguh berhubung isu berkenaan.

Kata Perdana Menteri, ketika ini pihak berkaitan sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

‘’Masalahnya ada penunggang agama termasuk peguam yang tidak pernah terbabit dalam kegiatan agama Hindu terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil tersebut). Saya tidak boleh bayangkan, saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama lain,’’ katanya.

Anwar juga menegaskan, ‘’ Jadi kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi pastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti supaya tidak menjadi masalah.’’

Kenyataan Perdana Menteri adalah tepat kerana walaupun Jakel mempunyai hak 100 peratus ke atas tanah itu namun pengurusan syarikat tekstil itu mengambil pendekatan harmoni bagi menyelesaikan isu dengan pihak pengurusan kuil.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Darzuki dalam taklimat kepada Media, Khamis lalu. 

 Rundingan diadakan sejak awal lagi secara telus dengan melibatkan pelbagai pihak termasuklah DBKL. Walaupun rundingan sudah berjalan bertahun-tahun namun tiada kata putus yang dicapai kerana pihak kuil belum bersedia untuk berpindah ke lokasi lain.

Namun begitu Jakel tidak berputus asa sebaliknya terus berusaha untuk mencapai penyelesaian terbaik melalui perundingan. Lebih menarik lagi, sebagai tanda keprihatinan dan komitmen untuk mencapai penyelesaian yang adil, Jakel menawarkan bantuan kewangan untuk proses pemindahan kepada pihak kuil.

Malah Jakel juga mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada pihak kerajaan melalui DBKL untuk menyediakan tapak baharu bagi kuil tersebut.

Berdasarkan situasi itu, langkah Anwar memberi peringatan kepada semua pihak berhubung isu berkenaan adalah wajar. Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak cuba menjadi jaguh termasuklah membuat kenyataan seolah-olah kuil itu adalah mangsa. Sedangkan  seperti mana kata Perdana Menteri,’’ kuil itu kuil  yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah’’.

Justeru jika pihak-pihak yang cuba menjadi jaguh faham situasi sebenar, mereka pasti tidak akan membuat sentimen  yang ‘memanaskan keadaan’.

Kesimpulannya, semua pihak harus mematuhi ingatan Anwar. Berilah ruang kepada Jakel dan pihak kuil berunding dengan tenang dan harmoni atas semangat saling hormat menghormati antara satu sama lain. 

Usahlah membuat dakyah kononnya kuil yang terletak di atas tanah milik Jakel itu mahu dirobohkan. Janganlah mana-mana mahu menjadi batu api. Ingatlah nasihat Perdana Menteri iaitu;

 ‘’ “Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka (pihak kuil) mendapat tapak yang sah dan diiktiraf, mudah-mudahan diselesaikan dengan baik. Saya harap tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan.’’ 

Penulis percaya ketegasan Perdana Menteri itu akan mampu meredakan keadaan dan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada kelompok yang cuba menangguk di air keruh dalam isu sensitif sehingga menggugat hubungan antara kaum di negara ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Inisiatif Smart Lane kurangkan kesesakan trafik sehingga 50 peratus

INISIATIF Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30 hingga...

More Articles Like This