SETIAP hari seorang anggota Pasukan Sukarelawan Thailand, Suyani Sibah akan sampai di Pejabat Daerah Khap Pho, Pattani pada pukul 9 pagi untuk menjalankan tugasnya, bagaimanapun pada 17 Mac lalu disebabkan ada urusan di rumah, wanita berusia 40 tahun itu terlewat.
Ternyata kelewatan itu ada hikmahnya. Rupa-rupanya kereta Suyani sudahpun dipasang bom oleh puak pemisah yang ‘disetkan’ meletup pada pukul 9 pagi – iaitu sebaik sahaja dia sampai di pejabat – jika itu berlaku ramai nyawa akan terkorban.
Bagaimanapun bom tersebut meletup di Ban Chok Kha Pho, Kapor ketika Suyani dalam perjalanan ke pejabat sehingga menyebabkan dia dan tiga lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera.

dipasang puak pemisah di Pattani.
Menurut laporan media, mereka yang cedera selain Suyani ialah Maeyah Wae Itae, 18, Aminah Sa-ed, 61 dan kanak-kanak prempuan Muslimi Wacheh 6 tahun.
Sehari sebelum itu di Pangkalan Operasi Ban Rotan Batu, Muang, Narathiwat seorang anggota polis cedera parah ditembak oleh puak pengganas.
Kedua-dua serangan itu sekali lagi membuktikan puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) tidak pernah berhasrat menghentikan perbuatan ganas mereka biarpun dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini.
Soalnya adakah serangan dan pembunuhan ke atas anggota keselamatan serta penduduk Islam tidak berdosa akan diteruskan sepanjang 10 hari terakhir Ramadan yang bermula Khamis lalu?
Sudah pastilah umat Islam Selatan Thailand mahu beribadah dengan tenang termasuk memenuhi masjid dan surau, tetapi adakah niat mulia itu akan dibenarkan Kumpulan BRN yang kononnya mahu menunjukkan mereka masih kuat untuk melawan pemerintah Thailand.
Pada 10 malam terakhir, apa yang umat Islam mahu dengar ialah bacaan ayat-ayat suci al-Quran bukannya suara tangisan ahli keluarga yang saudara mereka dibunuh oleh BRN, apa yang penduduk Islam mahu dengar ialah bunyi mercun menceriakan mereka menyambut Syawal bukannya bunyi letupan bom yang meragut nyawa insan-insan tidak berdosa.
Dalam satu kenyataan yang tersebar dalam media sosial menyatakan bahawa tindakan BRN yang melancarkan berbagai bentuk serangan keganasan, khasnya pada pada awal Ramadan tahun ini di Selatan Thailand telah mendapat tentangan daripada seluruh penduduk Islam.
Mereka akan bertambah marah jika BRN terus mengganas dengan melancarkan serangan pada 10 akhir Ramadan.
‘’Oleh kerana tindakan BRN adalah sangat bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikhul-Islam bahawa Thailand memberikan kebebasan dalam beragama dan menyebarkan agama. Oleh yang demikian, Thailand adalah sebuah negara Darul Salam dan bukan Negara Darul Harbi. Penganut agama lain adalah sahabat dan mesti memberi layanan kepada mereka secara aman, di mana Allah SWT tidak melarang Islam untuk berbuat baik dan menegakan keadilan bersama.
‘’Barang siapa yang membunuh orang yang tidak berdosa dan memusnahkan harta benda dalam Bulan Ramadan adalah perbuatan oleh syaitan dan Iblis dan mereka bukan daripada golongan orang yang beriman. Ramadan adalah bulan kemanan, jangan buat alasan sebagai Jihad yang songsang kepada Warga Thai Muslim mengakibatkan Islam menjadi rosak,’’ kata kenyataan itu.

Tetapi penulis percaya, BRN tidak mempedulikan semua itu, sebaliknya akan terus melancarkan serangan dengan matlamat untuk memberi tekanan kepada pemerintah Thailand supaya tunduk kepada kehendak dan tuntutan mereka.
Selain itu ada juga khabar menyatakan pemimpin-pemimpin BRN yang berada di lar negara tidak mampu mengawal anggota di lapangan sehingga memungkinkan keganasan terus tercetus.
Kalau begitu keadaannya, sudah pastilah sebarang proses damai yang difahamkan sangat-sangat diinginkan oleh pemimpin BRN tidak akan ke mana kerana mereka tidak ada kuasa mengarahkan anggota-anggota di lapangan menghentikan serangan dan pembunuhan.
Keadaan menjadi lebih buruk kerana ada juga cakap-cakap bahawa BRN mahu menunjukkan kekuatan melalui serangan ke atas penduduk Islam dan anggota keselamatan beragama Islam.
Senario yang berlalu dalam BRN nampak sangat berkeceramuk tidak tahu siapa yang benar-benar berkuasa dan layak berunding dengan pemerintah Thailand jika mahu mewujudkan kedamaian di Selatan Thailand.
Tetapi apa yang pasti, umat Islam sudah bosan hidup dalam keadaan ketakutan dan sentiasa berada ancaman. Semua itu bukan angkara pemerintah Thailand yang dianggap oleh pemimpin BRN sebagai penjajah tetapi sebaliknya dilakukan oleh BRN yang kononnya berjuang untuk umat Islam.
Apapun sempena 10 hari terakhir Ramadan ini, diharapkan di hati pemimpin BRN akan ada sekelumit atau secebis perasaan untuk mengizinkan umat Islam beribadah dengan penuh tawaduk dan dijauhi sebarang bahaya serta malapetaka ciptaan kelompok yang menzahirkan fatwa songsang berhubung dengan jihad.
Semoga 1 Syawal tahun ini akan diraikan dengan penuh kesyukuran dan membolehkan kita menyaksikan umat Islam di Selatan Thailand ceria memakai baju Melayu dan baju kurung – pakaian yang didakwa oleh puak pemisah dilarang oleh pemerintah Thailand.
Hakikatnya semua itu hanyalah propaganda. Pemerintah Thailand tidaklah sebodoh itu untuk melarang umat Islam memakai baju Melayu. Kerajaan negara itu sentiasa memastikan penduduk Islam dapat beribadah dengan tenang dan menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
Kerajaan Thai sentiasa memberikan jaminan bahawa penduduk Islam boleh meraikan Aidilfitri dengan gembira dan bersedia memberikan sokongan dalam penganjuran pelbagai aktiviti sempena sambutan perayaan itu.
Komitmen itu membuktikan yang meragut ketenangan umat Islam beribadah dan merampas kegembiraan umat Islam meraikan 1 Syawal ialah puak pemisah BRN.
Jika fakta ini tidak betul, Kumpulan BRN perlu buktikan dengan memastikan sepanjang 10 Ramadan terakhir tiada keganasan berlaku dan 1 Syawal tiada pembunuhan terjadi dalam kalangan penduduk Islam! Kalau terjadi juga…terbuktilah buang masa sahaja berunding dengan kumpulan itu.

