DUA individu yang berperanan sebagai pentadbir utama sebuah kumpulan Facebook telah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memberi keterangan.
Ia susulan kumpulan Facebook tersebut dipercayai digunakan sebagai platform utama bagi penyebaran maklumat dan komentar dipercayai boleh membangkitkan ketegangan antara kaum dan agama.
Pada masa sama, komentar dan penyebaran maklumat dalam kumpulan Facebook itu juga boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, sesi rakaman percakapan itu telah dijalankan pada pukul 9 malam, 27 Mac lalu di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor.
Menurutnya, dua individu itu dipanggil selepas MCMC menerima aduan daripada orang ramai.
“Sebuah telefon bimbit dan kad SIM telah disita bagi tujuan pembuktian kes.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel lain: Kenyataan berunsur rasis: Pejabat Menteri Perpaduan buat laporan kepada MCMC
Selain itu, MCMC memaklumkan suruhanjaya berkenaan telah mengemukakan 110 permohonan kepada Meta bagi menurunkan kandungan bersifat perkauman dalam kumpulan Facebook tersebut.
“Daripada 110 permohonan yang dikemukakan, Facebook mendapati bahawa 106 kandungan telah melanggar Piawaian Komuniti Facebook dan diturunkan,” menurut kenyataan itu.
MCMC menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan yang boleh mencetuskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” tambahnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

