HARI ini genap enam hari umat Islam berada dalam bulan Syawal. Sudah pastilah dalam tempoh itu pelbagai kenangan manis dan pahit tercipta khususnya sebelum dan selepas 1 Syawal.
Seperti tahun-tahun sebelumnya Aidilfitri di negara ini akan dimeriahkan dengan tradisi majlis rumah terbuka, kunjung mengunjung dan acap kali akan ‘dihiasi’ dengan tragedi kemalangan yang meragut nyawa.
Sepanjang Aidilftiri ini, penulis sempat mencoretkan peristiwa yang dianggap boleh menjadi kenangan dan pengajaran. Berikut coretan penulis sempena sambutan 1 Syawal tahun ini.
*Takbir dari rumah ke rumah : Bentuk silaturahim, eratkan persahabatan,kukuhkan persaudaraan
Selain daripada tradisi kunjung mengunjung ketika Aidilfitri, salah satu aktiviti yang sudah lama penulis sendiri tidak saksikan ialah takbir dari rumah ke rumah pada malam raya. Alhamdulillah, pada tahun ini, penulis bukan sahaja dapat menyaksikan tradisi yang sudah hampir pupus itu tetapi dapat bersama-sama menyertainya.
Segalanya adalah hasil daripada inisiatif oleh ahli jawatankuasa surau Taman Anjung Gapam, Bemban, Melaka. Setiap tahun mereka menganjurkan takbir dari rumah ke rumah dengan tujuan membentuk silaturahim, mengeratkan persahabatan dan memperkukuhkan persaudaraan.
Pada tahun ini sebanyak 12 buah rumah dikunjungi. Walaupun berlanjutan sehingga pukul 12 tengah malam, namun kira-kira 30 orang yang menyertai tradisi tetap ceria dan bersemangat.
Ketika penulis berbual-bual dengan beberapa orang warga emas, mereka berasa kagum dan teruja apabila mendengar cerita penulis mengenai aktiviti takbir dari rumah ke rumah itu. Kata mereka, tradisi tersebut sudah ‘semakin pupus’ di kampung-kampung. Justeru mereka menganggap apa yang dilakukan adalah sesuatu amat baik apatah lagi kalau ia melibatkan generasi muda dan kanak-kanak.
‘’Dulu, takbir rumah ke rumah ini meriah di kampung….tak sah kalau tak buat..tetapi sekarang yang buat taman-taman perumahan bukan lagi kampung,’’ kata bapa saudara penulis yang tinggal di Serkam, Melaka.
Semoga tradisi ini akan diteruskan seperti mana tradisi rumah terbuka. Jika menziarahi ahli keluarga boleh mengeratkan persaudaraan, tradisi takbir dari rumah ke rumah pula bukan sahaja boleh membentuk silaturahim tetapi mungkin ia akan menggalakkan lebih ramai untuk mengimarahkan masjid dan surau kalau ia dianjurkan oleh kedua-dua institusi itu.
Letupan saluran gas, kemalangan ngeri cipta tragedi Aidilfitri
Pada pagi 2 Syawal ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri dan menyambut tetamu khabar duka tersebar apabila tercetus kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putera Heights, Puchong.
Kejadian itu menggemparkan negara kerana apinya marak setinggi 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celcius berupaya ‘mencairkan’ apa sahaja yang ada berdekatan dengannya.

Dalam kejadian pukul 8 pagi 1 April itu letupan paip gas bawah tanah menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, mencetuskan kebakaran besar menyebabkan 145 penduduk cedera, kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.
Kebakaran itu membabitkan saluran paip gas bawah tanah sepanjang 500 meter milik PETRINAS Gas Berhad yang terletak berhampiran perumahan awam.
Api marak kebakaran itu menyebabkan lebih 300 rumah penduduk, terutama sekitar Kampung Tengah dan Sungai Baru, yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi paip gas itu mengalami kerosakan, termasuk 78 musnah sepenuhnya.
Sesungguhnya apa yang berlaku bukan sahaja menggemparkan tetapi juga mewujudkan kesedihan mendalam kepada mangsa-mangsa. Oleh itu pihak berkuasa pasti akan menjalankan siasatan rapi mengetahui punca kejadian tersebut.
Penulis yakin pihak polis tidak akan berkompromi dalam kes ini jika benar ada kecuaian yang berlaku sehingga memungkinkan tragedi itu tercetus. Walaupun tiada nyawa yang terkorban namun kecederaan yang dialami oleh beratus-ratus penduduk dan kemusnahan harta benda sudah cukup memberi isyarat bahawa mereka yang bertanggungjawab harus dikenakan hukuman seberat-beratnya.
Selain kejadian letupan gas, kemalangan jalan raya terus mencatatkan seolah-olah setiap kali Aidilfitri pasti ada tragedi di lebuh raya yang meragut nyawa khususnya kepada mereka yang mahu pulang berhari raya.

Kemalangan melibatkan empat kenderaan pada 28 Mac di Kluang menyaksikan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun terkorban.
Siasatan awal menyatakan kemalangan di Kilometer 58.1 Lebuhraya Plus arah Selatan itu berlaku apabila sebuah treler yang dalam perjalanan dari Johor Bharu Ke Kuala Lumpur mengalami tayar pecah menyebabkan ia hilang kawalan.
‘’Treler itu bergesel dengan kereta Toyota Camry yang berada di laluan, sebelum memasuki ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.Kedua-dua kenderaan dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru,’’ kata Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh yang turut memaklumkan pemandu dan seorang penumpang Proton X50 turut terbunuh.
Pada 1 April seorang wanita yang sedang hamil lapan bulan dan anaknya berusia dua tahun terbunuh selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Bezza dipandu suaminya yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terong Menora.
Kejadian itu yang tular di media sosial menimbulkan kemarahan kerana terdapat unsur langgar lari dalam nahas terlibat sehingga mengundang kemarahan netizen. Bagaimanapun pada Sabtu (5 April) polis mengesahkan pemandu kenderaan berwarna merah yang tular selepas dirakam menggilis wanita bersama anak kecil itu sudah tampil memberi keterangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata keterangan individu itu sudah dirakam dan isu kes langgar lari membabitkan pemandu kenderaan terbabit sebelum ini dianggap selesai.
Demikian sedikit coretan penulis mengenai Aidilfitri tahun ini.Sebenarnya ada lagi yang boleh dicoretkan khususnya dari sudut apa yang dibincangkan ketika berbual beramai-ramai. Macam-macam topik ada.Yang lucu, Yang sedih, yang marah…semua ada.
Semoga apa yang berlaku pada lebaran kali ini akan menjadi kenangan dan pengajaran untuk kita. SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN.

