Gaza: Negara Arab tak bertindak balas, Trump, Netanyahu terus mengganas 

Dari Penulis

CUBA hayati dua petikan ini ;

Petikan pertama:

‘’Wahai Rasulullah janganlah engkau beri syafaat kepada mereka kerana mereka mengecewakan kami…itu saja. Dan kami tetap tabah (teguh) dan sabar dengan izin Allah Azza Wa Jalla. Kami tidak akan menyerah dan tidak akan dipermalukan (dikalahkan).

‘’Dan kami tidak akan berkompromi sampai ke penghujung terakhir tanah di bumi Palestin. Bahkan jiwa mereka mengebom rumah-rumah kami dan menghancurkan negara kami dan bahkan jika kami hanya memiliki butiran tanah yang tersisa, di mana tidak ada lagi air, makanan atau minuman..kami akan tetapi tabah (teguh) dengan izin Allah Azza Wa Jalla.

‘’Rabb kamilah yang memberi kami makan dan Rabb kamilah yang memberi kami minum bukannya negara-negara Arab. Mereka telah mengecewakan kami. Kami hanya berharap pada Allah Yang Maha Esa lalu bukan lagi kepada negara-negara Arab.’’

Petikan kedua :

‘’Inilah kalimat terakhir yang ingin aku ucapkan kepada kalian. Kami muak! Wahai dunia, kami muak. Bukan sahaja kau, semua orang sudah penat. Semua anak-anak, para pemuda, semuanya sudah lelah.

‘’Sudah cukup..sudah cukup apa yang dilakukan oleh para penjajah terhadap kami dan bangsa Arab melihat apa yang terjadi kepada kami. Apakah mereka suka melihat penderitaan yang terjadi kepada kami?

‘’Kami muak, wahai dunia, kami muak. Kalian..ya kalian bangsa Arab..Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan tentang kalian..Anak-anak maut di bawah runtuhan, tangan mereka terputus, kaki mereka terkoyak..kepala mereka hancur!

‘’Kepada setiap orang Arab dan asing yang melihat kami…darah apa yang mengalir di pembuluh darah kalian? Dari tanah liat apa yang kalian diperbuat? Jika anak kalian yang mengalami keadaan ini, apakah kalian akan tetap diam?

‘’Aku punya satu kalimat untuk diucapkan..Aku tidak akan memaafkan kalian, baik di dunia mahupun akhirat dan aku akan meminta kepada Rabb-untuk tidak mengampuni kalian juga..’’

Kedua-dua petikan itu adalah mesej melalui Tik Tok oleh seorang wanita dan kanak-kanak Palestin di Gaza yang benar-benar kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin negara Islam khususnya dunia Arab yang seolah-olah hanya memerhatikan sahaja rejim Zionis Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) terus mengganas membunuh rakyat Palestin dan menghancurkan bumi Gaza.

Ketika Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentayahu -penjenayah yang diburu oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) – bertemu di Washington DC bagi merampas bumi Gaza daripada rakyat Palestin, belum ada sebarang langkah konkrit dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara Arab dalam menghentikan kegilaan dan keganasan dua pemimpin tersebut.

Sebaliknya pemimpin negara Arab terus kekal dengan sindrom lama iaitu sekadar mengecam, mengutuk dan kemudiannya bermesyuarat tetapi hasilnya tiada apa-apa. Atas sebab itulah AS dan Israel tidak pernah berasa gerun dengan kecaman atau kutukan daripada negara-negara Islam.

 Ia kerana mereka tahu, negara-negara tersebut hanya sekadar membuat kenyataan media sahaja selepas itu kehidupan berjalan seperti biasa biarpun setiap hari rakyat Palestin dibunuh sehingga memungkinkan sejak Oktober 2023 hingga hari ini kira-kira 50,000 rakyat negara itu menjadi korban.

Dalam pertemuan terbaru antara Trump dan Nentayahu, kedua-dua mengulangi komitmen untuk merampas Gaza serta menegaskan, AS akan mengawal wilayah itu.

‘’Mempunyai pasukan keamanan seperti Amerika Syarikat di sana, mengawal dan memiliki Semenanjung Gaza akan menjadi sesuatu yang baik,’’ kata Trump.

Presiden AS itu menyifatkan Gaza sebagai ‘’sebidang hartanah yang sangat penting dan luar biasa.’’

Memanglah penting kerana apabila AS mengawal wilayah itu negara kuasa besar itu mereka akan menyerahkannya kepada Israel sekaligus akan memalukan seluruh umat Islam dan negara Islam khususnya negara Arab kerana gagal mempertahankan tanah umat Islam (Gaza) yang seluas hanya 365 kilometer persegi!

Walaupun umat Islam ada lebih 1 bilion orang, walaupun ada negara Arab yang mempunyai kekuatan tentera sama taraf dengan AS dan ada negara Arab yang memiliki kekuatan ketenteraan jauh lebih hebat daripada Israel tetapi mereka tidak melakukan apa-apa.

Demi kepentingan strategik politik dan ekonomi masing-masing, negara-negara berkenaan seolah-olah akan membiarkan sahaja  Trump dan Nentayahu ‘berpesta’ menjajah, membunuh dan mengusir rakyat Palestin dari Gaza.

Kalau begitu sikap negara-negara Islam sehingga disumpah oleh penduduk Palestin, kepada siapa lagi kita oleh bergantung harap? Justeru itulah majoriti NGO Islam seluruh dunia bersetuju dengan  Fatwa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkenaan “Penerusan Serangan ke atas Gaza dan Penamatan Gencatan Senjata” pada 28 lalu.

Antara lain jawatankuasa itu menegaskan dan memutuskan:

Jumlah syahid telah melebihi 50,000 orang sejak serangan bermula. Rejim penjajah telah mengkhianati perjanjian gencatan senjata, sebagaimana kebiasaannya melanggar perjanjian dengan Allah, para rasul dan makhluk-Nya.

Mereka meneruskan pembunuhan beramai-ramai secara sistematik terhadap saudara-saudara kita di Gaza dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat, yang masih menyalurkan bom pemusnah dan senjata kepada rejim Zionis, dalam keadaan dunia Arab berdiam diri dan negara-negara Islam mengabaikan tanggungjawab mereka.

Maka, sebagai memenuhi amanah ilmu yang diwajibkan oleh Allah ke atas para ulama, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa menegaskan hukum-hakam syarak berkenaan isu ini seperti berikut:

1. Kewajipan jihad

Jihad melawan rejim Zionis dan sekutu mereka adalah wajib ke atas semua umat Islam, dengan keutamaan bagi rakyat Palestin, diikuti oleh negara jiran (Mesir, Jordan dan Lubnan) serta seluruh negara Arab dan Islam.

  • Kewajipan jihad bersenjata juga terletak pada setiap Muslim yang mampu.
  • Kerajaan-kerajaan Islam wajib mengambil tindakan segera dari sudut ketenteraan, ekonomi dan politik untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.

2. Haram membantu musuh

Haram sama sekali memberi bantuan kepada musuh dalam bentuk apa pun, termasuk menjual senjata, membenarkan penghantaran senjata melalui laluan darat, laut atau udara.

Wajib bagi negara-negara Islam mengepung rejim Zionis secara darat, laut dan udara bagi membantu saudara-saudara kita di Gaza.

3. Haram menyokong Zionis dalam apa jua bentuk

  • Dilarang membekalkan Zionis dengan minyak, gas, makanan dan minuman, terutama ketika rakyat Gaza kelaparan.
  • Sesiapa yang membantu Zionis dengan niat memusnahkan perjuangan Islam dianggap telah murtad.

4. Keperluan menubuhkan Perikatan Ketenteraan Islam

  • Negara-negara Islam mesti membentuk satu pakatan ketenteraan untuk melindungi tanah Islam dan mempertahankan maruah umat.

5. Semakan semula perjanjian dengan Zionis

  • Negara Islam yang mempunyai perjanjian dengan Zionis perlu menyemak kembali perjanjian tersebut dan mengenakan tekanan kepada musuh.

6. Kewajipan jihad dengan harta

  • Setiap Muslim yang berkemampuan wajib berjihad dengan harta mereka bagi membantu perjuangan dan mempertahankan umat Islam di Gaza.

7. Pengharaman normalisasi dengan Zionis

  • Normalisasi hubungan dengan Zionis dalam apa jua bentuk adalah haram dan wajib dihentikan segera.

8. Tanggungjawab ulama

  • Para ulama wajib menyuarakan kebenaran, menyeru kepada jihad dan mendesak pemimpin negara Islam untuk bertindak.

9. Boikot Zionis dan sekutunya

  • Umat Islam wajib memboikot Zionis secara politik, ekonomi, budaya dan saintifik.

10. Tekanan terhadap Amerika Syarikat

  • Umat Islam di AS mesti menekan kerajaan mereka untuk menghentikan sokongan terhadap Zionis.

11. Boikot syarikat penyokong Zionis

  • Umat Islam perlu meneruskan boikot syarikat yang menyokong Zionis, terutamanya yang membekalkan senjata.

12. Bantuan Kemanusiaan ke Gaza

  • Umat Islam wajib membantu rakyat Gaza dengan ubat-ubatan, makanan, pakaian dan keperluan asas.

13. Penyatuan umat Islam

  • Perpecahan dalam kalangan umat Islam, termasuk di Palestin, mesti dihentikan segera.

14. Qunut Nazilah dan doa

  • Umat Islam diseru untuk melaksanakan Qunut Nazilah dalam solat dan berdoa untuk rakyat Gaza.

15. Penghargaan kepada negara dan individu yang membantu Gaza

  • Jawatankuasa mengucapkan terima kasih kepada negara, organisasi dan individu yang menyokong Gaza melalui sebarang bentuk bantuan atau menegakkan kebenaran di peringkat antarabangsa.

 Keputusan Jawatankuasa Fatwa itu bermakna terdapat 15 langkah yang boleh dilakukan oleh umat Islam dalam usaha menghentikan kekejaman AS dan Israel di Gaza. Terpulanglah kepada umat Islam memilih yang mana mereka mahu mengikut kemampuan.

Namun perlu dingat daripada 15 hukum hakam itu boleh dikatakan selama ini 13 daripadanya sudah dilaksanakan oleh majoriti umat Islam dan negara Islam, hanya tinggal dua sahaja belum dilakukan iaitu kewajipan jihad yang turut melibatkan gerakan bersenjata.

Setakat ini belum ada negara-negara yang bercakap soal itu dan penulis percaya tidak ada negara Islam yang akan berbuat demikian kerana majoriti mereka masih mementingkan hubungan diplomatik dan perdagangan khususnya dengan AS.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PM umum peruntukan tambahan RM1 juta Tabung Kasih@HAWANA

BAGI menyokong kebajikan pengamal media di negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan...

More Articles Like This