SEBANYAK 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya telah menerima bantuan segera seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Pejabat Daerah Petaling sedang memuktamadkan proses verifikasi kesemua mangsa menjelang Jumaat ini bagi memastikan tiada keciciran bantuan atau sebarang kesilapan berlaku.
“Sehingga malam semalam, sebanyak 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan akibat letupan saluran gas pada Selasa lepas oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Angka ini berbeza dengan jumlah mendaftar dengan PPS, iaitu 613 keluarga meliputi kawasan di luar taman perumahan dan kampung yang terkesan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri sudah memuktamadkan 469 ketua isi rumah yang layak untuk menerima sumbangan sama ada RM10,000 atau RM5,000 yang diumumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian pada Sabtu dan Ahad ini, melibatkan kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan.
Baca artikel lain: Polis saman warga emas pandu kereta di lorong motosikal
“Kita akan berusaha membersihkan sebaik mungkin lokaliti terlibat untuk memberikan lebih keselesaan kepada penduduk, terutamanya 270 rumah yang ditakrifkan selamat untuk diduduki,” katanya.
Amirudin turut memaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak di Kampung Kuala Sungai Baharu bagi memudahkan penduduk yang ingin membuat penggantian geran tanah yang rosak atau hilang dalam insiden kebakaran tersebut.
Beliau berkata jalan sepanjang 30 meter antara lot pembinaan (lokasi kejadian) dan Taman Putra Harmoni juga akan ditutup bagi membolehkan proses siasatan dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Ini untuk memudahkan polis menjalankan siasatan dan pasukan teknikal melakukan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden serta punca kejadian, supaya kita dapat menentukan pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah ini,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

