PENYANYI rock legenda, Datuk Amy Search membuktikan kecintaannya dalam muzik tidak pernah pudar meskipun usianya kini meniti angka 66 tahun.
Amy atau Suhaimi Abdul Rahman ketika ini sedang giat menjalani sesi latihan bagi konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Konsert yang diberi judul Amy Search Magic Konsert Solo Pertama itu bakal berlangsung itu menandakan pencapaian istimewanya sepanjang 40 tahun memperjuangkan genre rock yang cukup malar segar.
Mengulas mengenai konsert itu, Amy meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kekuatan dan kesihatan yang baik demi menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya.
“Setiap kali dapat menjayakan konsert saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat.
“Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baru yang dapat saya pelajari,” katanya kepada URTV.
Tegas Amy, pada usia kini, dia lebih peka dalam soal penjagaan kesihatan dan stamina agar mampu bertahan sepanjang konsert yang bakal berlangsung selama dua jam 30 minit.
“Sudah tentu pada usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap.
“Untuk saya mengadakan persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan peminat selain berpeluang menyanyi bersama. Ia juga membawa satu kenangan terindah,” ulasnya.
Menerusi konsert itu nanti, Amy bakal memperdengarkan sekitar 20 hingga 25 buah lagu.
“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan yang terbaik.
“Cuma saya nak anda hadir, dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” katanya.
Konsert bersejarah itu turut menampilkan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson yang bertanggungjawab memastikan kelancaran konsert dan memberi kenangan terindah buat semua yang hadir.
Sebelum ini, Rock It Like Amy diumumkan sebagai tema konsert sekali gus menggalakkan peminat untuk mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.
Tiket konsert boleh didapati menerusi platform www.wowtix.com.my
Harga tiket bermula daripada RM188 (Cat 6- Lagu Tiada lagi ), RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita), RM388 (Cat 4 – Kerja Gila), RM538 (Cat 3- Kalimah Cinta), RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan) dan RM788 (Cat 1- Rock Royalty).64Anna Mohamed09:57 PM

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

