SUDAH hilang sabar, penyanyi Datuk Awie menggesa Datuk Amy Search untuk segera tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi artis legenda yang ‘menyerang’ Shila Amzah ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar, 56, Othman, menegaskan dirinya tidak ada kaitan dengan isu terbabit.
“Amy Search, kau ceritalah benda yang betul. Habis semua manusia kepoh tuduh aku!

“Ambillah tanggungjawab ini. Beritahu perkara sebenar. Penat dan sesak dada aku nak membaca dan menjawab hal kau!,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Terdahulu, Shila mendakwa dirinya mengalami kebimbangan melampau atau anxiety selepas diserang seorang artis legenda ketika menjalani latihan konsert MR D.I.Y, kelmarin.

Pengurusnya, Aini memaklumkan laporan polis telah dibuat susulan insiden terbabit.
Rentetan pendedahan tersebut, beberapa nama artis senior termasuk Awie, Amy Search dan Ella mula ‘dipetik’ netizen susulan turut terbabit dalam konsert sama.
Laporan media semalam melaporkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa saksi terlibat bagi membantu siasatan.

