Pengundi PH, pengundi luar sasaran BN, PN menanti beri ‘kad kuning’

Dari Penulis

SELEPAS 582 anggota polis dan pasangan mereka melakukan pengundian awal pada 22 April lalu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kira-kira 48 jam lagi, seramai 31,315 pengundi daripada 31,897 pengundi berdaftar pula akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

Kempen PRK itu yang bermula sejak 12 April lalu, kini memasuki detik-detik akhir dan difahamkan Barisan Nasional (BN) dengan sokongan padu Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP kini semakin agresif melaksanakan kempen bagi meraih undi.

Setakat hari ini kedudukan masih tidak berubah di mana BN melalui calonnya, Dr. Mohamad Yusri Bakir  dijangka mempertahankan kerusi DUN tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Allahyarham Ishsam Shahrudin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti 2,213 undi.

Misi BN bukan sekadar mahu mempertahankan kerusi malah mahu mencatatkan majoriti lebih besar memandangkan mereka kini mendapat bantuan mantap daripada PH selepas sama-sama bergabung menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Perak dan di Pusat.

BN khususnya UMNO mahu membuktikan mereka ‘tetap bertaring’ di Perak apabila ‘diberi penghormatan’ oleh PH menduduki kerusi Menteri Besar  walaupun hanya menang 9 daripada 59 kerusi DUN pada  PRU-15 berbanding PH 24 kerusi dan Perikatan Nasional (26 kerusi).

Perkembangan di DUN Ayer Kuning menunjukkan BN kini berharap pengundi luar akan pulang mengundi dan pengundi Cina khususnya penyokong DAP akan keluar mengundi kerana kelompok pengundi tersebut menjadi penentu paling kritikal dalam usaha BN memperolehi undi dan majoriti lebih besar berbanding PRU-15.

Sementara pengundi India dan Orang Asli sudah dikatakan hampir pasti menyebelahi BN, parti itu mengharapkan sokongan pengundi Cina pula bagi menampung sebarang kehilangan undi daripada pengundi Melayu.

Ia kerana sehingga ke hari ini sebahagian besar pengundi Melayu masih cenderung untuk menyebelahi Calon Perikatan Nasional yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimi Malek. Agak genting bagi BN ialah ada antara mereka ialah pengundi putih yang mungkin beralih arah sebagai protes kerjasama UMNO-DAP – atau kini semakin terkenal dengan  UMDAP seperti mana dilaungkan oleh pemimpin DAP dan BN melalui video yang tersiar dalam Tik Tok baru-baru ini.

Namun begitu untuk mengatakan BN akan kalah dalam PRK tersebut agak berlebihan kecualilah pengundi luar yang pulang mengundi PN manakala pengundi Cina penyokong PH tidak keluar mengundi. Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin UMNO harus berhati-hati termasuklah berusaha memulihkan kekecewaan pemimpin-pemimpin Pemuda berkaitan pemilihan calon.

Kata sumber,  isu tersebut perlu diselesaikan dan mereka yang terlibat perlu berjiwa besar demi kepentingan Kerajaan Perpaduan serta mengelakkan keputusan luar dugaan pada PRK berkenaan. 

Selain itu turut akan menjejaskan usaha BN untuk meraih undi orang Melayu jika BN membiarkan sesetengah pemimpin politik daripada parti kerajaan ‘sedap mulut sahaja’ membelasah ulama Pas di pentas-pentas ceramah. 

Memang benar ada orang Melayu yang menyokong BN tetapi mereka mungkin tawar hati kalau melihat pemimpin UMNO membiarkannya keceluparan seumpama itu kerana apapun perbezaan politik antara kita, perlu ada sedikit hormat kepada golongan ulama tidak kira dari parti manapun.

Pada masa sama di hujung-hujung kempen PRK ini, tidak perlulah pemimpin-pemimpin UMNO terlalu teruja sangat mahu mempertahankan kerjasama dengan DAP sehingga antara sanggup membuat ‘slot khas’ dalam Facebook bagi menegaskan DAP tidak akan menggugat apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Penulis berpendapat, langkah seumpama itu tidak perlu dilakukan kerana bimbang ia akan ‘memakan diri’. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu yakin dan mempertahankan pendirian mereka sebelum ini bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan termasuk bekerjasama dengan DAP adalah demi kestabilan politik negara.

Justeru kalau ada parti pembangkang mahu memainkan isu kerjasama itu, biarkan sahaja. Kenapa UMNO perlu gelabah kalau benar mereka sudah begitu percaya kepada semangat setiakawan DAP. Lagipun DAP pun sudah beri jaminan mereka akan mempertahankan Perlembagaan, jadi tenang-tenang sahaja demi memastikan UMDAP TERUS MANTAP.

Bagi Perikatan Nasional pula, sumber memberitahu penulis, gerakan kempen mereka cukup sistematik dan berkemungkinan besar akan mampu menambah undi daripada pengundi Melayu atas pelbagai faktor.

Antara faktor itu termasuklah penolakan terhadap kerjasama UMNO-DAP, manifesto BN yang dikatakan tidak ada fokus khusus kepada orang Melayu dan beberapa isu di peringkat nasional. Tetapi Perikatan Nasional pun faham untuk menang agak sukar walaupun bukan mustahil namun jika dapat meningkatkan undi daripada pengundi Melayu ia sudah dianggap satu kemenangan dan ‘KAD KUNING’ kepada UMNO.

Walaupun Ayer Kuning hanya satu kawasan DUN tetapi ia sedikit sebanyak boleh dijadikan ukuran sejauh manakah kukuhnya ‘taring’ BN sejak menjalin hubungan dengan PH, kenapa penulis berkata demikian? Percayalah senario politik dari segi tahap sokongan sedang berubah dengan dramatik secara senyap…Jadi BN jangan yakin sangat.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This