Isma jalan tinggalkan Zayn Rayyan di belakang satu pengabaian – Saksi

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa tindakan ibu kepada kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berjalan di hadapan anaknya itu ketika menaiki tangga menuju ke unit kediaman mereka selepas pulang dari sekolah pada hari kehilangannya dua tahun lepas, sebagai satu pengabaian.

Perkara itu dijelaskan oleh Saksi Pendakwaan ke-28 yang merupakan bekas Pegawai Penyiasat Kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Katanya, laporan polis yang dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf yang mendakwa tidak meninggalkan anak sulungnya itu berseorangan sebelum kehilangannya, tidak selari dengan siasatan beliau.

Menurut beliau, hasil siasatannya mendapati Ismanira selaku tertuduh di dalam kes ini telah berjalan di hadapan kanak-kanak berkenaan, sehingga menyebabkan wanita itu tidak dapat melihat keadaan mangsa yang berjalan di belakangnya ketika menuju ke unit kediaman mereka di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

“Tertuduh kedua (Ismanira) bertindak berjalan di hadapan dan meninggalkan si mati di belakang menyebabkan dia tidak melihat keadaan anaknya di belakang, perbuatan itu seolah-olah membiarkan Zayn Rayyan tanpa pengawasan,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Zaizul turut meminta Mohd Hafizee menjelaskan jawapannya yang tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan pada semalam, bahawa tindakan Ismanira yang menghebahkan kehilangan anaknya di beberapa platform media sosial merupakan tindak balas ibu yang bertanggungjawab.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan daripada peguam Haresh Mahadevan berhubung perkara itu ekoran hebahan di platform-platform atas talian itu dibuat agak lewat berbanding waktu Zayn dilaporkan hilang pada jam 12 tengah hari.

“Semalam peguam ada timbulkan masa pada 12.45 tengah hari hebahan tersebut dihantar oleh tertuduh kedua, saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana sepatutnya tertuduh kedua boleh hantar hebahan tersebut lebih awal daripada masa yang dinyatakan peguam semalam (12.45 tengah hari)

“Selain daripada itu, tertuduh kedua sepatutnya membuat laporan polis atau buat panggilan telefon kepada pihak polis memaklumkan berkenaan kejadian. Itu tindakan yang sepatutnya dibuat,” jelas Mohd Hafizee.

Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai Pegawai Operasi dan Risikan di IPD Klang Selatan turut menafikan dakwaan pihak pembelaan bahawa saksi-saksi yang dipanggil ketika siasatan kes ini telah diarahkan untuk menukar keterangan mereka.

“Semua saksi yang dipanggil tidak pernah diugut atau dipaksa untuk memberi rakaman percakapan, tujuan pihak polis memanggil saksi-saksi beberapa kali untuk mengesahkan beberapa maklumat lain yang diperolehi semasa siasatan.

“27 saksi yang dipanggil semasa siasatan kompeten dengan keterangan diberikan, bergantung kepada mahkamah untuk menilai keterangan ini. Hasil siasatan saya mendapati ada elemen pengabaian dilakukan tertuduh-tertuduh ini,” katanya.

Pada prosiding semalam, ketika pemeriksaan balas oleh Haresh, peguam itu menyoal Mohd Hafizee berhubung definisi pengabaian bagi siasatan terhadap kes yang dihadapi oleh anak guamnya, Ismanira dan suami, Zaim Ikhwan Zahari.

Haresh: Jelaskan kepada mahkamah definisi ‘pengabaian’ di dalam kes ini?

Mohd Hafizee: Untuk kes ini, tertuduh (Ismanira) telah meninggalkan mangsa seorang diri.

Haresh: Baris mana di dalam laporan polis oleh Ismanira yang mengatakan dia telah meninggalkan Zayn Rayyan seorang diri?

Mohd Hafizee: Baris ketiga, ayat ‘tiada di belakang saya’.

Haresh: Jadi ASP samakan ayat ‘tiada di belakang saya’ sebagai pengabaian?

Mohd Hafizee: Betul.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan turut dikendalikan oleh Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala bagi pihak pembelaan selain Haresh ialah Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 21 Julai depan bagi keputusan sama ada Ismanira dan Zaim Ikhwan perlu membela diri atau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak sulung mereka itu pada Disember dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 30 tahun didakwa selaku orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian, bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This