MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru semua pihak untuk meraikan semua pelajar tanpa mengira keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Perkara itu menurut beliau penting kerana setiap pelajar telah berusaha untuk menyumbang kepada kecemerlangan dan pencapaian keseluruhan sekolah, daerah dan negeri.
Selain itu, Fadhlina juga menegaskan pencapaian pelajar bukan sekadar diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga melalui usaha dan komitmen mereka sepanjang tempoh pembelajaran.
“Kita kena ingat apa sahaja keputusan mereka ini menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah dan negeri.
“Jadi keputusan mereka ini sangat penting dan saya harap apa saya sebut tadi… mesti sambung pelajaran tidak kira apa pun keputusan mereka …dan (kita) akan beri sokongan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan penyerahan slip keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, keputusan SPM 2024 yang muncul antara terbaik dalam sejarah peperiksaan itu, membuktikan kualiti pendidikan negara kini semakin tinggi.
Tegas beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mengambil langkah penting sebagaimana dilaksanakan sebelum ini terutama berkaitan segmen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi itu, bagi menambah baik keputusan SPM pada masa depan.
Antara segmen yang akan terus diberi tumpuan katanya ialah kehadiran calon peperiksaan dan merapatkan lagi jurang keputusan antara bandar dengan luar bandar.
“Kehadiran (calon) ialah antara (penambahbaikan) yang cukup signifikan. Intervensi yang kita lakukan sedikit sebanyak dapat mengurangkan (ketidakhadiran), begitu juga jurang (keputusan) dapat dilihat secara signifikan dan kita akan teruskan.
“Tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Kita berjaya pada tahun ini, maknanya yang layak mendapat sijil juga meningkat. Oleh itu, saya fikir ada banyak segmen untuk ditambah baik dan kita mengambil serius perkara ini bagi memastikan keputusan akan datang lebih baik,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

