BEKALAN lembu sempena perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Jun ini dijangka mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berharap harga lembu juga akan kekal stabil di pasaran, memandangkan harga rendah telah turut ditawarkan pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Bagi lembu yang diperuntukkan untuk ibadah korban, insya-Allah bekalannya akan mencukupi. Kita harap harga lembu tidak akan naik mendadak pada hari raya korban nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2025 di Maeps, Serdang hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kejadian penularan wabak hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di daerah Kuala Terengganu, berada dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi setakat ini.
Baca artikel lain: Lembu di Melaka akan diwajibkan ada kod QR – Ab Rauf
Pada Jumaat lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah mengesan kes hawar berdarah di daerah berkenaan, yang menyebabkan 25 ekor kerbau mati Kampung Dusun Tembakau, Manir, Kuala Terengganu.
Sementara itu, Mohamad berkata harga santan yang masih tinggi ketika ini dijangka akan kembali stabil menjelang Mei.
Beliau berkata harga santan ketika ini dipengaruhi permintaan menggalakkan semasa perayaan Aidilfitri.
“Untuk memastikan bekalan mencukupi, kerajaan juga telah mengambil langkah untuk mengimport tambahan santan dari Indonesia, serta (membawa masuk) dari Sabah dan Sarawak.
“Dengan langkah-langkah tersebut, kami yakin harga santan akan stabil semula menjelang bulan depan, insya-Allah,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

