ANAK perempuan kepada usahawan kosmetik terkenal, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad iaitu Irdina Hakim Jasman kini bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Farez Zuhaily pada 25 April.
Majlis pernikahan pasangan merpati dua sejoli itu berlangsung penuh meriah yang turut dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, saudara mara serta kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Turut hadir, para pelanggan dan pengguna produk Dnars disamping pengikut di media sosial serta masyarakat setempat.

Pempengaruh terkenal, Izmer Mustapha atau lebih dikenali sebagai Abang La Senok Perut memuji anak kepada pengasas produk penjagaan wajah, Dnars Skincare ini kerana mengadakan kenduri perkahwinannya secara sederhana di rumah arwah ibunya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Izmer berkata, walaupun mampu untuk buat majlis mewah di hotel, keluarga pengantin memilih untuk mengadakan acara di kediaman milik arwah ibunya sahaja.
Menurutnya lagi, satu perkara yang harus dipuji adalah keluarga pengantin menjemput tetamu tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Beliau menjemput semua orang dan tidak ada konsep VIP atau Datuk dan Datin. Malah, layanan yang diberikan sama rata,” tulisnya.
Dalam ruangan komen pula, pelbagai reaksi positif diberikan oleh netizen.
“Macam ni baru betul. Yang sokong bisnes ni kebanyakan orang biasa”, tulis Neesa Roslan.
“Orang yang tahu hukum hakam agama Islam memang sepatutnya buat majlis tidak membeza-bezakan para undangan”, komen Nik Yah Nik Mood dalam posting tersebut.
Majlis kenduri pernikahan Irdina Hakim, 22, dengan Muhammad Farez Zuhaily Shah, 23, berlangsung dengan dihadiri lebih kurang 5,000 orang tetamu.
Sementara itu, dalam perkongsian lain, rata-rata warganet meninggalkan komen dengan mengatakan wajah Irdina persis arwah ibunya.
Sehingga kini perkongsian gambar-gambar dan video di media sosial itu menerima ribuan tanda suka daripada warganet.

