PENDAKWAH, Mohd Rasyiq Mohd Alwi diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas didapati bertanggungjawab memfitnah beliau berhubung isu vaksin COVID-19, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan oleh Khairy, 49, terhadap Mohd Rasyiq, 45, selain mengarahkan lelaki itu membayar kos berjumlah RM50,000.
“Saya berpendapat bahawa plaintif (Khairy) bukan sahaja layak untuk menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta yang mana masing-masing sebanyak RM250,000 bagi setiap kenyataan fitnah, tapi juga ganti rugi teladan sebanyak RM250,000 selain ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 juta,” ujar beliau.
Sebelum membacakan keputusannya itu, Raja Ahmad Mohzanuddin sempat mengucapkan takziah kepada Khairy atas pemergian bapa mentuanya, yang juga bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
Mohd Rasyiq atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq sebelum ini membuat beberapa hantaran di Facebook dan Instagram dengan mendakwa bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah menipu berhubung jemaah umrah perlu mengambil dos ketiga vaksin COVID-19, serta mendakwa Khairy dan keluarganya tidak pernah mengambil vaksin itu.
Selain itu, Mohd Rasyiq turut mendakwa bahawa Khairy telah memalsukan sijil vaksin di aplikasi MySejahtera yang menunjukkan beliau telah mengambil vaksin dos penggalak.
Ketika membacakan keputusannya, Raja Ahmad Mohzanuddin berkata kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Mohd Rasyiq selaku defendan itu menggambarkan Khairy selaku plaintif telah bertindak secara tidak bermaruah dan tidak beretika serta tidak berintegriti.
“Justeru, tiada keraguan bahawa kenyataan-kenyataan itu berkemampuan untuk membawa fitnah seperti yang didakwa oleh plaintif.
“Saya tiada keraguan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah bersifat fitnah. Kenyataan-kenyataan ini secara nyata boleh menjatuhkan reputasi plaintif di mata masyarakat yang berfikiran waras, memberikan kesan buruk terhadap reputasinya dalam kerajaan serta mendedahkan beliau kepada kebencian, penghinaan, ejekan atau pengasingan oleh masyarakat,” katanya.
Menurut beliau lagi, kenyataan-kenyataan tersebut ternyata adalah palsu, tidak berasas, tidak disokong oleh fakta dan tidak wajar selepas meneliti keterangan dalam dokumen yang dikemukakan oleh Khairy.
“Saya juga mendapati bahawa kenyataan-kenyataan fitnah sebegini boleh menjatuhkan semangat dan menjejaskan emosi para petugas barisan hadapan yang diketuai oleh plaintif ketika itu.
“Oleh kerana kebanyakkan daripada kita bukan petugas barisan hadapan, kita tidak dapat membayangkan apa yang mereka alami pada waktu kritikal tersebut. Oleh itu, kenyataan fitnah yang berniat menimbulkan provikasi dengan naratif palsu hanya memburukkan lagi keadaan,” tambah beliau.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan defendan yang gagal hadir ke perbicaraan yang dijalankan selama dua hari pada 4 dan 5 Februari tahun lalu walaupun telah dimaklumkan mengenai tarikh perbicaraan tersebut.
“Mahkamah dan plaintif telah menunjukkan kesabaran yang tinggi sepanjang prosiding dengan memberikan pelbagai lanjutan masa kepada defendan melantik peguam beliau. Malah, tarikh perbicaraan turut ditangguhkan ke 3 Disember 2024 bagi menghormati kedudukan defendan.
“Namun begitu, defendan bukan sahaja tidak mengambil sebarang tindakan, malah gagal menunjukkan sebarang kesopanan dan dan tanggungjawab yang sewajarnya kepada mahkamah ini. Oleh itu, saya telah memutuskan bahawa tiada alasan munasabah untuk terus melengahkan kes ini dan saya telah bersetuju dengan permohonan plaintif untuk meneruskan perbicaraan,” ujar beliau.
Ketika prosiding, Khairy diwakili oleh peguam Abdul Rashid Ismail manakala Mohd Rasyiq diwakili oleh peguam Khairun Nisa Mohd Azidin yang menyebut bagi pihak Messrs Khalisa & Co.
Pada 25 Januari 2022, Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung hantaran dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19.
Menerusi saman itu, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah agar status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.
Pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

