TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan bakal mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam Pemilihan PKR 2025 pada 23 Mei ini.
Perkara itu disahkan Menteri Ekonomi itu menerusi hantaran di platform X miliknya.
Menurut Rafizi, beliau telah pun berjaya membayar yuran pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden.
“Setelah dua kad kredit kena reject (tolak), satu kad debit reject, akaun bank exceed limit (lebih had), akhirnya berjaya bayar yuran pencalonan.
“Saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden Keadilan bagi pemilihan ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Beliau turut berkongsi tangkap layar senarai calon yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam tangkap layar tersebut, kelihatan nama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sekali gus mengesahkan pencalonannya.
Seorang lagi calon yang dikatakan bakal ‘bertempur’ bagi jawatan sama iaitu Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak kelihatan dalam tangkap layar berkenaan.
Setelah 2 kad kredit kena reject, 1 kad debit reject, bank akaun exceed limit ha3, akhirnya berjaya bayar yuran pencalonan ?
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) May 9, 2025
Saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN bagi pemilihan ini. pic.twitter.com/ZuYiAzxK6K
Baca artikel lain: Rafizi luah hasrat tidak bertanding Timbalan Presiden PKR, lepas jawatan Kabinet
Berdasarkan notis yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR pada 3 Mac lalu, yuran pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden adalah sebanyak RM35,000.
Yuran pencalonan bagi jawatan Presiden disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berjumlah RM50,000 dengan jawatan berkenaan dijangka tidak menerima cabaran.
Sebelum ini, Rafizi dalam kenyataan mengalu-alukan pencalonan mana-mana pemimpin lain yang mahu merebut jawatan nombor dua parti itu.
Ahli Parlimen Pandan itu menganggap pendiriannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden PKR itu sebagai keputusan ‘menang-menang’.
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, pimpinan PKR peringkat cabang, negeri serta pusat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

