DATUK Seri Rafizi Ramli telah menyatakan kesediaannya untuk tidak bertanding bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2025 selain terbuka untuk melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet.
Perkara itu dinyatakan Rafizi dalam pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa dalam tempoh beliau bercuti baru-baru ini.
Rafizi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dalam pertemuan dengan Anwar yang juga merupakan Presiden PKR, beliau telah mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.
“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.
“Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan, dan tidak menyerang seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang.
“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16.
“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau telah menyuarakan perkara yang sama kepada Saifuddin Nasution dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan terhadap jawatan Timbalan Presiden.
Katanya, hal itu bagi membolehkan beliau kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan kabinet dan kerajaan.
“Kedua-dua mereka (Anwar dan Saifuddin) memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari kabinet. Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Pemilihan PKR 2025, Rafizi berkata, beliau menerima baik berita-berita mengenai Saifuddin dan Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Katanya, beliau sejak dari awal menyatakan hak untuk bertanding adalah hak masing-masing dan semangat demokrasi wajar diraikan dalam parti.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.
“Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU16. Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

