SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong, dekat Subang Jaya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kanak-kanak malang itu berada di rumah pengasuh ketika kejadian dan dipercayai memanjat tingkap yang tidak berjerijii sebelum terjatuh ke lantai di tingkat lima.
Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari.
Susulan itu, anggota polis rondaan diarahkan untuk ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima bangunan tersebut.
“Pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa.
“Ibu mangsa berada di rumah menjaga seorang lagi anak yang sedang kuarantin, manakala bapa sedang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pengasuh berada di dapur sedang memasak dan hasil siasatan mendapati terdapat kerusi di tepi tingkap.
“Mangsa dipercayai terjatuh semasa berdiri dan melihat ke arah luar,” katanya.
Kes disiasat mengikut 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 21 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

