Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024: Harapan dan Kekecewaan (Bahagian 2)

Dari Penulis

SEPERTI saya janjikan pada minggu lalu, bahagian kedua tajuk berkaitan KEB 2024 akan membincangkan kunci kejayaan (akan gagal jika tidak dilaksanakan).

Perkongsian pandangan dan syor-syor kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya mengkaji sejarah gagasan kongres ekonomi bumiputera yang diilham dan diasaskan melalui forum-forum kerajaan, mahupun yang dianjurkan oleh NGO serta pengalaman peribadi saya menyertainya secara langsung dan aktif.

Setelah membaca artikel saya, salah seorang tokoh penting yang mengetuai kluster KEB 2024 telah menghantar mesej WhatsApp kepada saya dengan komen seperti berikut yang saya salinkan semula 100 peratus:

Agenda ini BOLEH digerakkan dengan berjaya. Perlu KOMITMEN dan berada di tempat dan pada orang yg BETUL”.

Semua pihak wajib sedar bahawa KEB 2024 bukanlah wayang politik atau satu usaha yang bersifat bias dan rasis kepada kaum bumiputera sahaja tetapi forum seumpama ini adalah gagasan negara yang penting untuk memastikan keseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum supaya dapat mewujudkan kestabilan dan kesejahteraan dalam kalangan semua rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, sekiranya ada pihak yang menganggap agenda ini sebagai picisan sambil lewa atau sebagai modal politik semata-mata, natijahnya amat berat terutama ketika krisis kepercayaan dan keyakinan kaum bumiputera terhadap kepimpinan dan politik negara yang sangat mencabar dan rencam ketika ini.

Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini situasi stress atau tegang amat dirasakan oleh bumiputera dalam semua aspek terutama tekanan dan cabaran ekonomi semasa.

Sejarah kemarahan orang Melayu khususnya, sudah menjadi sejarah Tanah Melayu ketika orang Melayu membantah penubuhan Malayan Union yang diyakini akan melemahkan lagi kedudukan mereka. Maka pihak penjajah (British) cuba menyejukkan perasaan marah itu dengan menubuhkan agensi pembangunan desa iaitu Rural and Industrial Development Authority atau RIDA pada tahun 1950.

Penulis ketika membentangkan resolusi Forum Usahawan Melayu Kini di Persimpangan untuk diserahkan kepada kerajaan berikutnya.

Pihak penjajah menganggap peruntukan sebanyak lima juta ringgit untuk RIDA sudah memadai untuk menyelesaikan masalah ekonomi orang Melayu. Akhirnya, British tidak mampu menawan hati Melayu, lalu melepaskan Persekutuan Tanah Melayu untuk merdeka pada tahun 1957.

Selepas merdeka, bibit kemarahan bumiputera telah mula membara akibat kemiskinan sehingga mewujudkan Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun 1965 dan 1968 yang berjaya menghasilkan pelbagai instrumen yang lebih besar dan berkesan seperti MARA, Tabung Haji, Bank Bumiputera dan banyak lagi yang sebahagiannya juga masih teguh berdiri hingga ke hari ini.

Namun, segala usaha tersebut juga belum mencapai keseimbangan ekonomi yang dikecapi bumiputera hingga tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969. Maka wujudlah Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sebagai serampang dua mata iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan rakyat ketika itu.

Hasilnya, banyak peningkatan dan pencapaian yang membanggakan dapat dicapai hasil DEB yang tidak boleh kita nafikan. Kepentingan kongres seumpama KEB sangat jelas dalam menangani keresahan rakyat yang dibelenggu masalah ekonomi.

Baca artikel lain: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 : Harapan dan Kekecewaan

Ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, KEB digerakkan oleh badan NGO seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu yang turut menyumbang kepada gagasan Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan pengisian Malaysia moden melalui Wawasan 2020.

Tun Abdullah Badawi pula, seingat saya mengambil kira kehendak bumiputera melalui pandangan terkumpul yang melibatkan ramai pakar ekonomi bumiputera sendiri dan pengaruh parti politik seperti UMNO untuk menghasilkan gagasan ekonomi era pemerintahannya yang dilihat sebagai keseimbangan dan pelengkap kepada dasar-dasar ekonomi Mahathir seperti pembangunan modal insan, pembangunan wilayah dan sumber ekonomi baharu yang perlu merentasi wilayah dan kecenderungan aktiviti ekonomi yang majoritinya adalah Melayu.

Ini termasuklah dasar pembangunan koridor wilayah yang masih relevan hingga kini.

Penulis (kanan sekali) bersama panel pemikir Forum Usahawan Melayu Masa Kini iaitu Dato’ Seri Azman Ujang (Pengerusi Bernama), Datuk Salleh Majid (tokoh ekonomi negara) dan Dato’ Aziz Bakar, Pengerusi Air Asia berkongsi cadangan Model Baru Ekonomi Bumiputera pada tahun 2010.

Forum-forum ekonomi zaman Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula banyak menumpukan ekonomi Malaysia menuju status negara maju dan moden. Melalui idea Model Ekonomi Baharu(MEB), banyak inisiatif bumiputera diwujudkan secara tersusun melalui transformasi ekonomi negara.

Suara dan pandangan rakyat tetap didengari. Malah penulis sendiri berjaya mengumpulkan NGO Melayu untuk memberi pandangan kepada Najib Melalui Forum Ekonomi Melayu: Digugat dan Digigit, pada tahun 2010 di PWTC, yang akhirnya sangat berkesan untuk mencetuskan semarak dan kesedaran bagi membolehkan NGO menyertai agenda ekonomi bumiputera dalam kalangan orang Melayu ketika itu.

Saya sendiri banyak menyertai sesi perbincangan termasuk dilantik oleh kerajaan menduduki beberapa jawatankuasa penasihat kerajaan walaupun saya sangat muda ketika itu.

Pada pandangan saya, sejak era Abdullah, Mohd Najib, Mahathir (Perdana Menteri ketujuh) hinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga kini, kita mempunyai perancangan yang hebat tetapi lemah dari segi pelaksanaan (execution).

Kongres Bumiputera dan Masa Depan Negara pada tahun 2018 adalah paling buruk hala tujunya kerana kerajaan PH 1.0 tumbang pada tahun 2020 dan terus lenyap. Ramai yang berpendapat, prestasi KEB 2025 yang dilaporkan baru-baru ini juga dianggap lemah.

Setelah mengkaji dan melalui pengalaman menyertai kongres dan forum ekonomi bumiputera, apakah kunci kejayaan dan kegagalan perlaksanaan KEB? Jawapan ringkasnya adalah terletak pada tujuh (7) cabaran seperti berikut:

Pertama

Kejayaan gagasan seperti KEB 2024 memerlukan keikhlasan dan kesungguhan yang tinggi. Sebahagian kejayaan yang berlaku sejak tahun 1965 adalah datangnya daripada kesedaran dan keinsafan untuk membela nasib bumiputera yang menebal. Kesungguhannya memerlukan ‘JIWA’ yang kuat.

Kedua

Pemimpin kerajaan perlu mempunyai ketegasan untuk memastikan segala perancangan dilaksanakan secara serius. Jika penguatkuasaan perlaksanaan perlu diwujudkan (memenuhi kehendak fasal 153: hak keistimewaan bumiputera), perkara tersebut hendaklah dilakukan. Ini termasuklah perkongsian kuasa dan tanggungjawab yang dibenarkan oleh undang-undang dan peraturan dikongsikan antara menteri dan penjawat awam.

Segala keputusan hendaklah menjadi dasar yang diperakukan serta membolehkan apa sahaja keperluan seperti peruntukan kewangan disediakan, diwartakan dan dikuatkuasakan. Pemantauan sepanjang masa hendaklah dijalankan supaya kaedah penyampaian dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ketiga

Komitmen dan kepatuhan penjawat awam adalah penting supaya mana-mana pihak yang gagal melaksanakan agenda bumiputera ini boleh dikenakan tindakan disiplin, surcharge atau dinilai sebagai berprestasi buruk dalam penilaian kenaikan pangkat dan sebagainya. Manakala setiap jabatan mempunyai unit pemerkasaan bumiputera yang perlu bersifat progresif dan proaktif.

Keempat

Struktur organisasi yang berkesan diperlukan dan kerajaan hendaklah membuktikan bahawa mereka sudah sampai ke tahap melakukan revolusi struktur yang akan menjadi platform dan penggerak utama. Jawatankuasa kerja strategik hendaklah diwujudkan dari peringkat nasional sampailah ke negeri, daerah, kampung atau tempatan.

Penguatkuasaan tegas bagi memastikan kaedah penyampaian yang berkesan hendaklah dipastikan dengan bidang tugas yang jelas disediakan sebagai rujukan garis panduan.

Kelima

Penglibatan pelbagai pihak melalui kaedah libat urus (engagement) hendaklah meluas seperti NGO serta pemimpin tempatan dalam mendapatkan maklum balas, menyertai kumpulan fokus, jawatankuasa strategik dan menjadi penyemak imbang dalam operasi perlaksanaan.

Pusat sehenti (one stop centre) juga perlu diwujudkan di setiap negeri. Barulah sumber maklumat dan ketepatannya tidak bergantung kepada laporan agensi kerajaan semata-mata.

Keenam

Laporan awam berkala, hendaklah disediakan dengan pantas supaya masyarakat dapat menilai prestasi dari masa ke masa, bukannya dengan pemukiman tahunan yang dilihat terlalu lambat untuk mengambil sebarang tindakan serta proses pembetulan.

Ketujuh

Dapatan kongres sepatutnya lebih menyediakan peluang-peluang ekonomi baharu dan memastikan golongan penggiat ekonomi terutama usahawan menjadi pemain utama, manakala agensi awam sebagai fasilitator atau pemudahcara sahaja.

Ini memerlukan sasaran yang jelas iaitu daripada kewujudan peluang ekonomi kecil, sampailah pengembangan ke tahap besar. Akhirnya, sasaran keberhasilan ialah peningjkatan ekonomi yang bersifat quick win, game changer, anjakan berganda dan mapan.

Persoalan sekarang, apakah semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan mahu melaksanakan semua yang dicadangkan di atas dengan penuh kesungguhan? Jujurlah pada diri kita bahawa semua pihak wajib membantu pemimpin UMNO yang menjadi peneraju bersama KEB 2024.

Jika dilihat lemah dan gagal, apakah sentimen benteng terakhir iaitu pengundi atas pagar dan sebahagian ahli parti yang masih setia dengan UMNO serta semua pengundi bumiputera yang mengundi kerajaan perpaduan mempunyai keyakinan baru melalui KEB 2024?

Apakah juga modal politik untuk menawan hati bumiputera khususnya orang muda yang menagih keyakinan peluang ekonomi yang menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa depan?

Janganlah kita terus berada dalam sindrom penafian yang memualkan sehingga kita terus leka menuju ambang kebencian rakyat yang kian meluap.

Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This