PEMBAYAR cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 diberi pengecualian dari pelaksanaan e-Invois buat masa ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenaytaan memaklumkan, ia merupakan salah satu keputusan dibuat Kementerian Kewangan berhubung penjadualan semula pelaksanaan e-Invois bagi perniagaan dengan pendapatan di bawah RM5 juta.
Menurut LHDN, fasa pelaksanaan e-Invois bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan melebihi RM1 hingga RM5 juta ditangguhkan kepada 1 Januari 2026.
Pada masa sama, katanya, fasa pelaksanaan e-Invois bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM1 juta pula ditangguhkan kepada 1 Julai 2026.
LHDn memberitahu, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil maklum komitmen pembayar cukai, khususnya peniaga kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan masa bersedia selain berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan.
Selaras dengan keputusan itu, fasa ketiga pelaksanaan akan bermula 1 Julai ini, melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.
Fasa keempat dan kelima masing-masing membabitkan pendapatan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta (bermula 1 Jan 2026), serta sehingga RM1 juta (bermula 1 Julai 2026).
Tempoh kelonggaran selama enam bulan yang diumumkan sebelum ini turut diguna pakai dalam fasa baharu ini, membolehkan pembayar cukai mengeluarkan e-Invois secara disatukan bagi semua transaksi termasuk bil kendiri.
Baca artikel lain: Wajib lapor pendapatan walaupun perniagaan rugi – LHDN
Selain itu, sebarang maklumat boleh dimasukkan di medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan”.
“Penjual juga dibenarkan mengeluarkan e-Invois disatukan sekiranya terdapat permintaan daripada pembeli, tanpa perlu mengeluarkan invois berasingan bagi setiap transaksi,” jelas kenyataan itu.
LHDN turut memaklumkan bahawa tiada tindakan pendakwaan akan diambil mengikut Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 sepanjang tempoh kelonggaran dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan.
Bagaimanapun, bermula 1 Jan 2026, semua pembayar cukai yang terlibat wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi melebihi RM10,000 dan tidak lagi dibenarkan menggunakan invois disatukan.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Meja Bantuan e-Invois LHDN di talian 03-8682 8000, melalui MyInvois Live Chat, e-mel ke [email protected] atau mengisi Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

