SEBANYAK 18 saman pernah dikeluarkan ke atas pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan perkara itu berkata, 13 daripada jumlah saman itu dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
“Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Beliau menambah, siasatan turut mendapati bas yang terlibat juga mempunyai rekod sebanyak 21 saman atas kesalahan trafik.
Bagaimanapun menurutnya, daripada 21 saman itu, sebanyak 16 sudah dijatuhkan hukuman manakala baki lima saman masih dalam siasatan.
Semalam UtusanTV melaporkan 15 pelajar UPSI maut selepas bas dinaiki mereka dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik berhampiran Tasik Banding, Gerik kira-kira jam 1 pagi.

