Kenapa kita dianjurkan makan mengikut sunah Rasulullah, ini rahsianya

Dari Penulis

Jika ditanya apa salah satu perkara menarik tentang Malaysia, antaranya turut digelar sebagai ‘syurga makanan’. Ya, kita berbangga dengan gelaran tersebut, tetapi secara tidak langsung ia juga mencetuskan kebimbangan mengenai tabiat makan masyarakat kita.

Makan dan masyarakat Malaysia tidak boleh dipisahkan. Lokasi makanan dan aneka resipi juga antara bahan yang paling banyak dikongsi dalam media sosial. Sebab itu tidak hairan apabila data pada tahun 2018 pernah menyatakan Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia.

Dianggarkan 2.5 juta orang dewasa, yang berumur 18 tahun ke atas, mempunyai diabetes tetapi hampir separuh daripada mereka ini tidak tahu yang mereka ada masalah diabetes – sehinggalah diserang sakit jantung, strok, kegagalan ginjal, hilang penglihatan atau memerlukan amputasi.

Diabetes jenis 2 berlaku disebabkan oleh rintangan insulin akibat tabiat pemakanan. Satu kajian di Lithuania pada 2012 menemukan diabetes sebagai satu masalah yang berpunca daripada makan dengan laju.

Kajian di Jepun pula menunjukkan tabiat makan dengan laju bukan hanya meningkatkan diabetes, malah boleh menyebabkan masalah penyakit metabolisme lain seperti sakit jantung dan kegemukan. Sebaliknya, mereka yang makan secara perlahan (lambat) terhindar daripada masalah tersebut.

Adab Rasulullah Makan

Makan secara perlahan merupakan cara makan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebelum makan, kita disuruh membasuh tangan, berdoa dan membaca bismillah.

Semasa makan, mulakan dengan tangan kanan, menjamah makanan yang paling hampir dengan kita, jangan banyak bercakap semasa makan, makan secara perlahan dan berhenti sebelum kenyang. Kemudian selepas makan, berdoa dan membasuh tangan.

Cara makan mengikut sunah Rasulullah s.a.w. ini telah terbukti mempunyai manfaat pada kesihatan manusia. Orang Islam dianjurkan untuk makan dan minum dengan tangan kanannya. 

Abdullah bin Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika salah seorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan jika dia minum maka hendaklah minum dengan tangan kanannya. Sebab syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.” (HR Muslim)

Mengikut kajian sains, tapak tangan dan jari manusia mempunyai bakteria yang dikenali sebagai flora normal. Apabila makan menggunakan tangan, bakteria ini ditelan bersama dan ia baik untuk mulut, tekak dan usus, serta membantu penghadaman dalam perut. Jutaan saraf pada jari pula menghantar isyarat kepada otak mengenai suhu, tekstur dan jenis makanan, sekali gus merembeskan jus dan enzim penghadaman sebagai persediaan menerima makanan itu.

Tangan manusia mengeluarkan tiga jenis enzim yang boleh membantu proses pencernaan makanan. Konsentrasi enzim di tangan kanan lebih tinggi daripada tangan kiri. Oleh itu, kita sebenarnya memudahkan proses pencernaan makanan dengan makan menggunakan tangan kanan.

Makan secara perlahan mengikut cara Rasulullah pula boleh ditafsirkan makan dalam cara yang perlahan dan tidak terburu-buru. Banyak kajian perubatan telah menunjukkan cara makan yang perlahan boleh mengelakkan penyakit metabolisme seperti kegemukan, diabetes dan sakit jantung.

Sekumpulan penyelidik Jepun yang diketuai oleh pakar kardiologi di Universiti Hiroshima, Dr. Takayuki Yamaji pernah melakukan kajian terhadap 1,083 orang dewasa (642 daripadanya lelaki) bagi melihat tabiat pemakanan mereka dan sindrom metabolik.

Dalam kajian yang dimulakan pada 2008 itu, peserta diminta mengelaskan cara pemakanan mereka sama ada laju, normal atau perlahan. Selepas lima tahun, peserta diminta menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengesan lima faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, paras trigliserida (LDL – lemak dalam darah atau kolesterol jahat), gula dalam darah, kolesterol baik yang rendah dan ukuran pinggang.

Didapati 84 orang daripada mereka mempunyai sindrom metabolik, walaupun pada awal kajian itu kesemua peserta tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit tersebut. Kumpulan yang makan laju menunjukkan peratusan tertinggi kecenderungan untuk terkena sindrom metabolik iaitu 11.6 peratus, kumpulan makan normal 6.5 peratus dan kumpulan makan perlahan 2.3 peratus.

Dalam bahasa mudahnya, mereka yang makan laju mengalami pertambahan berat lebih banyak, lebih tinggi kandungan gula dalam darah,  LDL dan saiz pinggang yang lebih besar. Mereka ini berisiko lebih sekali ganda lebih tinggi untuk mempunyai masalah metabolik berbanding mereka yang makan secara normal.

Tegas Dr. Yamaji, makan secara perlahan mungkin satu perubahan gaya hidup yang penting untuk membantu mencegah sindrom metabolik.

“Apabila orang itu makan dengan laju, dia biasanya berasa tidak kenyang dan lebih cenderung makan berlebihan. Bila lebih banyak mengunyah makanan, anda akan menghabiskan lebih banyak masa semasa makan dan lebih berkemungkinan berasa kenyang. Isyarat dari perut anda mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke otak bagi menyatakan anda kenyang.

“Makan cepat akan menyebabkan fluktuasi glukosa yang lebih besar, yang mungkin membawa kepada rintangan insulin – satu ciri diabetes jenis 2,’’ kata Dr. Yamaji ketika membentangkan hasil awal kajian tersebut pada Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika Syarikat pada November 2017.

Makanlah secara perlahan dan tidak terburu-buru seperti cara Rasulullah.

Selain diabetes, makan laju juga boleh menyebabkan masalah obesiti kerana otak tidak sempat memproses isyarat dari perut yang menyatakan ia kenyang.

Makanan yang tidak dikunyah betul-betul, masuk ke dalam perut dengan banyak boleh menyebabkan refluks asid – iaitu asid dari perut masuk ke saluran makan dan menyebabkan rasa pedih. Ini boleh menyebabkan perut tidak selesa, pedih hulu hati, loya, sakit perut dan kesukaran menelan. Malah individu itu juga berdepan risiko tercekik.

Adab makan juga menyuruh kita mengurangkan bercakap semasa makan. Semasa makanan berada dalam mulut, jangan bercakap kerana perbuatan tersebut adalah buruk, terutama bila makan bersama orang lain dan dikhuatiri makanan terhambur ke muka orang. Mengunyah juga biarlah secara perlahan agar tidak berbunyi.

Makan buah sebelum sajian utama

Manfaat maksimum buah boleh didapati dengan memakannya sebelum makan hidangan utama. Buah mengandungi serat yang membuatkan kita berasa kenyang lebih lama kerana perut yang mengandungi serat mengambil masa lebih lama iaitu 86 minit (berbanding masa biasa 72 minit) untuk mengosongkan separuh isi perut itu.

Serat juga memperlahankan masa gula diserap ke dalam darah selepas makan, manakala antioksidan, vitamin dan bahan mineral di dalam buah membantu mencegah pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok dan sesetengah jenis kanser.

Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang

Nabi s.a.w. tidak makan sebelum Baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.

Rasulullah s.a.w.  bersabda maksudnya; “Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut.” (HR Bukhari)

Tabiat makan tanpa menghiraukan isyarat lapar ini juga boleh mengundang makan secara berlebihan. Dalam kajian yang dikeluarkan dalam jurnal Appetite, orang yang mengikut isyarat lapar lebih mudah mengekalkan berat badan yang sihat. Ini berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas 1,600 orang wanita pertengahan umur di New Zealand.

Tidak bernafas dalam minuman

Daripada Ibnu Abbas ra. Berkata, “Rasulullah s.a.w. telah melarang untuk menghirup udara di dalam gelas (ketika minum) dan meniup di dalamnya.” (HR Tirmidzi)

Apabila minum sambil bernafas, tubuh kita mengeluarkan karbon dioksida (CO2) yang bila bercampur dengan air (H2O), dapat menjadi cuka (H2CO3) sehingga menyebabkan minuman menjadi asidik (masam). Hal ini boleh juga terjadi ketika meniup air panas. Sebaiknya sejukkan makanan dan minuman panas dengan dikipas sahaja.

Ubah gaya makan

Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Tuur: 19)

Mengikut kajian, manusia di seluruh dunia menghabiskan 40 peratus bajet makanannya untuk makan di luar, yang biasanya lebih tinggi kalori. Sebab itulah pakar kesihatan menyarankan kita agar cuba untuk memasak sendiri lebih kerap di rumah.

Selain itu, kita juga cenderung melakukan pembaziran bila makan di luar, terutama bila makan cara bufet. Mata rambang melihat sajian yang pelbagai jenis, lantas diambil apa sahaja yang terasa ingin dimakan. Namun ambillah makanan itu secukupnya yang mampu kita habiskan. Elakkan perbuatan gelojoh yang akhirnya membuatkan makanan itu dibazirkan. Pernah dinytakan, rakyat Malaysia membazirkan kira-kira purata 30,000 tan makanan sehari!

Amalan membazir, termasuk dalam soal makanan, amat dilarang dalam Islam. Daripada Anas bin Malik ra berkata bahawa Rasulullah s.a.w. sering makan dengan menjilat tiga jarinya (ibu jari, telunjuk dan jari tengah), seraya bersabda; “Apabila ada makananmu yang terjatuh, maka buanglah kotorannya dan hendaklah ia memakannya serta tidak membiarkannya untuk syaitan.”

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This