RUMAH keluarga mentua Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kampung Sungai Rapat Tambahan, Ipoh didakwa terputus bekalan elektrik (blackout) sebelum terbakar, malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, maut sementara suaminya Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, sesak nafas.
Anak pasangan itu, Ahmad Ikhwan, 57, berkata adik bongsunya yang tinggal di situ memberitahu kejadian berlaku pada 9.15 malam.
“Adik keluar untuk melihat rumah jiran kerana menyangka semua rumah juga sama, tetapi tidak. Selepas itu, dia nampak asap tebal dari bilik mak.
“Terus dia masuk semula dan tengok bilik sudah penuh dengan asap,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Baca artikel lain: Anwar ucap takziah kepada Hamzah kehilangan ibu mentua, doa terus kuat
Ahmad Ikhwan berkata bapanya kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Beliau berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat hari ini.
Sementara itu, Hamzah dan isteri, Datin Seri Norashikin Abdul Ghani dilihat berada di Jabatan Forensik HRPB dan turut menaiki van jenazah membawa Allahyarham Salmiah untuk ke masjid.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat, dan polis menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam tadi.
Kejadian itu membabitkan enam orang, dengan empat daripadanya yang berusia 18 hingga 49 tahun selamat.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

