BEKAS Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, beliau sudah menjangkakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi akan menolak usul UMNO Sembrong supaya beliau dibebaskan daripada penggantungan selama enam tahun sebagai ahli parti itu.
Dalam kenyataan beliau hari ini, Ahli Parlimen Sembrong itu menyifatkan keputusan MKT UMNO,’’… mencerminkan siapa mereka bukan siapa kita’’.
‘’Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip, Inilah perjuangan nilai dan makna. Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,’’ katanya yang digantung keahlian berkuatkuasa pada 27 Januari 2023.
Hishammuddin menjelaskan,beliau terpanggil untuk menjelaskan fakta dakwaan terhadapnya selepas menerima banyak panggilan, mesej dan pertanyaan berhubung keputusan MKT itu.
‘’ Dua tahun lalu, saya digantung melalui hanya laporan media pada malam 27 Januari 2023, tiga hari selepas itu sahaja baru saya dapat surat rasmi menyatakan saya digantung atas alasan melanggar fasal-fasal dalam Perlembagaan UMNO tidak ada sebarang penjelasan atau perincian lanjut dan hingga ke hari ini saya masih tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang saya didakwa telah dilakukan.
‘’Saya tidak dipanggil untuk memberi penjelasan atau membela diri, saya tidak dibicara di hadapan Jawatankuasa Disiplin dan ada yang bertanya kepada saya mengapa saya tidak merayu?
‘’Saya tidak merayu kerana saya tahu saya tidak diadili sebaiknya dan saya enggan menggadaikan prinsip yang saya pegang, malah ada yang kata saya terhengeh-hengeh dan bodoh sombong, penting untuk saya nyatakan di sini ini bukan soal keahlian, ini bagi saya bukan soal kedudukan, ini bukan soal jawatan,’’ katanya.
Sambil menegaskan apa yang dilakukan adalah soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini beliau pegang dalam UMNO, Hishammuddin berkata, merayu dengan menulis surat memang ramai yang ingat senang.
‘’Tetapi bagi perjuangan saya selama ini, ia bukan sekadar untuk menjadi ahli kembali, ini tentang memegang kepada nilai dan prinsip bukan saya sahaja tetapi juga pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu daripada kita. Ini yang sukar untuk saya kompromi.
‘’Semasa saya digantung (ia) tidak ikut prosedur, bila ada permintaan untuk saya diterima semula kena ikut prosedur pula, usul agar penggantungan saya ditarik balik bukan datang daripada saya, ia datang daripada UMNO Bahagian Sembrong sendiri,’’ katanya.
Oleh itu kata Hishammuddin, adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi jawapan dan memberi penjelasan kepada UMNO bahagian berkenaan.
‘’Walaupun keputusan (MKT) sebegitu, ia sedikitpun tidak menjejaskan kedudukan saya. Saya tahu di mana saya berdiri dan rakyat di Sembrong juga tahu siapa saya. Alhamdulillah Sembrong kekal harmoni dan kesetiaan saya terhadap perjuangan UMNO tidak pernah berubah. Yang berbeza hanyalah cara, proses dan prinsip dilaksanakan terhadap individu-individu tertentu,’’ katanya.
Hishammuddin juga bersyukur kerana terus diberi layanan yang baik dari seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang termasuklah daripada akar umbi UMNO sendiri dan beliau tetap diundang ke majlis-majlis dan diterima seperti sebahagian daripada mereka. Hubungan saya dengan rakyat tidak pernah bergantung kepada jawatan mahupun status dan keahlian.

