KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah diminta membuat pengumuman yang bersesuaian susulan keadaan cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga September depan ekoran peraihan Monsun Barat Daya.
Perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri juga meminta KKM supaya peka dengan keadaan cuaca dan membuat pengumuman berhubung nasihat kesihatan termasuk aktiviti luar ketika musim panas ini.
“Jemaah Menteri telah mengambil maklum beberapa amaran cuaca panas yang dibuat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkait dengan Monsun Barat Daya.
“Jemaah Menteri meminta orang ramai supaya sentiasa mengambil maklum mengenai notis atau pun pemakluman daripada MetMalaysia.
“Bagi kesesuaian aktiviti luar, Jemaah Menteri telah meminta supaya KKM mengambil maklum dan membuat pengumuman bersesuaian dengan keadaan cuaca pada satu-satu ketika,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Baca artikel lain: Jemaah Menteri tidak bincang mendalam pelantikan Ketua Hakim Negara – Fahmi
Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, Kementerian Komunikasi sedang menyelaraskan usaha bagi memastikan dana untuk penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat disediakan.
Pada masa sama, katanya, beliau sedang mencari masa bersesuaian untuk mengadakan pertemuan fizikal dengan semua ahli lembaga pengasas MMM.
“Insya-Allah memandangkan ada dalam kalangan wakil, bukan semua berada di Lembah Klang, maka kita akan cari masa bersesuaian untuk menjemput semua hadiri pertemuan.
“Kita jangkakan di pihak Kementerian Komunikasi, usaha untuk memastikan dana bagi memulakan majlis media ini dapat disediakan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Lembaga Pengasas MMM dianggotai 12 orang terdiri empat wakil bagi setiap kategori iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.
MMM berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

