Dua masalah gangguan mental yang paling biasa berlaku ialah kemurungan dan kebimbangan. Penyakit ini boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan keturunan.
Banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang menyentuh mengenai perkara ini. Kesan penyembuhan daripada al-Quran, yang menyertakan strategi untuk menangani tekanan dan memelihara kesihatan mental, telah banyak dikaji oleh para penyelidik kesihatan mental.
Dalam kajian ‘Menilai Kesan Perubatan Herba Dalam Rawatan Kemurungan’, dua orang penyelidik dari Iran membandingkan kelebihan lapan jenis herba yang disebut dalam al-Quran dan hadis dengan kajian dalam perubatan moden.
Menurut pengkaji itu, doktor-doktor Muslim yang belajar sains perubatan daripada ideologi Hippocrates dan Galen, merawat kesihatan mental mengikut ajaran al-Quran dan tradisi Islam.
Ali Ibnu Rabaan Tabari dalam tujuh jilid bukunya Ferdows al-hikmah, menjelaskan isu-isu paling penting mengenai perubatan dan kesihatan mental. Selain itu, Teb An-Nofous yang ditulis oleh Muhammad Ibnu Zakaria Razi adalah antara buku penting mengenai kesihatan mental.
Mohammad Reza Noor Mohammadi dari Pusat Penyelidikan Tumbuhan-tumbuhan Perubatan, Universiti Sains Perubatan Shahrekord, Iran dan rakan penyelidiknya, Yahya Haji dari Pusat Penyelidikan Agama dan Perubatan, Universiti Sains Perubatan Baqiyatallah, menyarankan agar kesan penyembuhan daripada tumbuh-tumbuhan yang dinyatakan dalam hadis dan al-Quran perlu dikumpulkan dan didokumentasikan untuk rujukan dan kegunaan saintifik.
Menurut mereka, pencapaian terbaru dalam sains perubatan boleh diintegrasikan dengan konsep spiritual daripada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Sekiranya integrasi ini berjaya dilakukan, sudut saintifik al-Quran dan hadis boleh ditemui serta satu ruang baru perubatan boleh dibuka kepada para penyelidik perubatan dan cendekiawan.
Terapi penyembuhan dan perubatan herba dari sudut pandangan perubatan Islam dalam merawat depresi serta kebimbangan, jauh lebih selamat tanpa kesan sampingan.
Ada beberapa jenis makanan yang telah dikenal pasti dapat menghilangkan depresi dan kemurungan secara tradisional.
EPAL

Kebaikan epal sudah dibuktikan dalam sains perubatan dan telah digunakan untuk menangani kebimbangan. Epal kaya dengan vitamin A, B, C, K. Ia digunakan sebagai ubat dalam rawatan semula jadi atau naturopati, untuk mencegah banyak penyakit.
Menurut kajian perubatan moden, vitamin B yang banyak dalam epal penting untuk menenangkan mental. Orang yang sentiasa gementar disarankan meminum segelas jus epal segar setiap pagi dengan ditambah sedikit air mawar. Jika dimakan sebelum tidur, ia juga membantu agar tidur lebih nyenyak.
Epal juga merupakan simbol cinta, kesuburan, persahabatan, kecantikan, kegembiraan, kesihatan, kebijaksanaan, kenikmatan dan tumpuan. Ia memacu kuasa otak, oleh itu ia amat baik untuk mereka yang melakukan kerja-kerja intelektual. Secara umumnya, disebabkan ia kaya dengan fosfor, epal memperbaiki saraf dan otak serta menguatkan usus untuk mempercepatkan penyerapan nutrien.
Para doktor itu menyatakan, jantung, otak dan hati menjadi kuat dan segar dengan memakan epal; manakala menghidu epal bermanfaat untuk mereka yang mengalami asma dan asfiksia (kekurangan oksigen) kerana cara ini boleh mengurangkan tekanan darah.
KUINS

Kuins berkesan untuk mengurangkan kebimbangan. Kaya dengan gula, tanin, asid malik, pektin, vitamin A ,B, E dan mineral seperti potassium, fosforus, kalsium serta zat besi. Buah ini mempunyai banyak kesan terapeutik. Meminum satu sudu teh air rebusan daun kuins dengan madu atau bunga oren pada waktu pagi dapat meredakan kemarahan kerana ia adalah sejenis sedatif. Air daun dan bunga kuins juga boleh merawat banyak jenis batuk.
Dalam buku Perubatan Rasulullah oleh Ibnu Qayyim, memetik hadis daripada Ibnu Majah dan Nasa’i mengenai kuins atau safarjal. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Makanlah wahai Thalhah, kerana safarjal menenangkan jantung.” (Ibnu Majah).
Manakala Nasa’i pula meriwayatkan, Rasulullah bersabda, “Makanlah wahai Abu Zar! Ini kerana ia menguatkan jantung, memperbaiki nafas dan membuang kesedihan.”
DELIMA

Delima boleh menyembuhkan kebimbangan. Mineral dalam jus delima yang bercampur dengan bahan organik boleh diserap dengan cepat, membantu memulihkan riket, anemia dan neurastenia (seseorang yang menghidap keletihan kronik dan kemalasan yang amat sangat, diikuti keadaan gugup, depresi, sakit kepala dan insomnia).
Pakar pemakanan percaya, delima boleh membersihkan kotoran dalam darah, menghasilkan bahan yang bermanfaat untuk badan, menyegarkan saraf, melegakan ketegangan saraf, membuka liang-liang peluh badan, melegakan usus, melancarkan air kencing dan memperbaiki fungsi hati.
Kajian lain menunjukkan buah ini mengandungi flavanoid, saponin dan tanin – kesemuanya mungkin berkesan menangani gangguan sistem saraf tunjang (CNS). Satu kajian menguji kesan arak ekstrak biji delima ke atas CNS tikus mendapati, dos ekstrak yang berbeza mempunyai kesan anksiolitik (ubat yang boleh meredakan kebimbangan).
Dalam surah ar-Rahman Allah berfirman, “Di dalam kedua-duanya juga terdapat buah-buahan serta pohon-pohon kurma dan delima.” – (ayat 68)
Dalam khazanah perubatan Islam ditemukan beberapa penyataan seperti yang diriwayatkan oleh Sayidina Ali mengenai keistimewaan delima. Sayidina Ali pernah mengatakan, “Makanlah delima dengan kulitnya sesungguhnya ia adalah membersihkan saluran penghadaman.”
ANGGUR

Anggur mempunyai kesan ajaib pada kesihatan mental. Doktor perubatan tradisional telah mengkaji pelbagai manfaat daripada bahagian pokok anggur yang berbeza. Buah anggur membersihkan darah, melegakan sembelit dan gastritis, dan juga merawat batuk kokol, anemia dan gout.
Daunnya bersifat astringen, tonik gastrik dan diuretik. Jus buah anggur yang masam menghilangkan rasa dahaga dan letih. Ia juga merawat jaundis dan obesiti. Jus anggur mengembalikan tenaga badan yang keletihan dan membantu peredaran darah. Ia juga membantu penghadaman. Anggur kaya dengan vitamin A, B dan C, dan boleh meredakan sakit yang disebabkan oleh demam.
Dalam teks Islam, anggur adalah satu daripada buah-buahan paling enak yang diciptakan Allah. Ia disebut secara tunggal (inab) dan banyak (enab) dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Dalam surah ar-Ra’d ayat 4, Allah berfirman; “Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.”
PIR

Pir ialah buah antikemurungan dan mengandungi hidrokuinon, glikosida, florizin, gula, asid organik, mineral, vitamin, pektin, invertin, asparagina, sementara bijinya mengandungi amigdalina. Sebelum ini, doktor percaya pir ialah laksatif, penghilang dahaga dan kemarahan, mengurangkan tekanan darah dan meredakan iritasi pundi kencing, dan menggunakan daunnya untuk mencegah diarea dan menyembuhkan luka.
Selain vitamin dan mineral, pir juga mengandungi gula, asid, invertin, sparina dan pelbagai jenis pentos. Ia kaya dengan gula, pektin, tanin dan tinggi kandungan mineral dan boleh melegakan sakit sendi manakala fosforus memberi keseimbangan psikologi.
Pir mempunyai aroma dan esen tertentu yang analeptik. Ia menenangkan orang yang gementar, mengawal fungsi pundi endokrin, merangsang usus yang perlahan, dan juga melegakan sakit tekak, rasa letih secara umum, anemia dan batuk kering. Buah pir mempunyai kesan antikemurungan dan membersihkan perut, menguatkan jantung dan melegakan gangguan dalaman.
LABU

Ia boleh digunakan sebagai makanan antikemurungan. Doktor percaya labu bagus untuk meredakan kemarahan dan menguatkan serta menyegarkan jiwa. Ia membuka liang-liang peluh yang tersumbat, meredakan kerengsaan perut, merawat jaundis dan juga merawat demam panas. Mereka yang mengalami insomnia dapat tidur lena selepas makan labu
Dalam Al-Ghailaaniyyat disebutkan hadis daripada Risyan Urwah daripada ayahnya daripada Aisyah, menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata padaku, “Wahai Aisyah, jika kamu ingin memasak sesuatu, perbanyakanlah labunya, sesungguhnya labu boleh mengubati hati yang sedih.”
MADU

Madu melegakan saraf dan merupakan laksatif sederhana. Pesakit jantung juga disarankan supaya meminum segelas air bercampur beberapa sudu teh madu dan jus lemon sebelum tidur. Minuman ini juga bagus untuk mereka yang mengalami insomnia.
Allah berfirman, “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (daripada berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (an-Nahl: 68-69)
Dalam hadis daripada Abu Sa’id daripada Abu al-Mutawakkil menceritakan, ada seorang lelaki datang menghadap Nabi s.a.w. dan mengeluh, “Saudara saya, mengeluh sakit perut.” Baginda menjawab, “Berikan dia madu.” Tidak lama kemudian dia datang lagi memberitahu bahawa saudaranya masih belum sembuh. Lalu Baginda menjawab, “Berikan dia madu.” Tidak lama kemudian dia datang dan mengadu lagi untuk kali ketiga. Nabi menjawab, “Berikan dia madu.” Buat kali yang keempat lelaki itu datang lagi menemui Rasulullah dan mengadu hal yang sama, “Saya telah melakukannya namun sakit saudaraku tetap tidak sembuh.” Baginda bersabda, “Maha Benar Allah dan perut saudaramu yang berbohong. Berikan dia madu.” Setelah diminum madu, ia pun akhirnya sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Ibnu al-Qayyim menegaskan, pengulangan dalam hadis tersebut mengandungi makna perubatan yang cukup mengagumkan, bahawa setiap ubat memiliki dos dan sukat tertentu mengikut keadaan penyakit. Jika terkurang dosnya maka ia tidak boleh menyembuhkan penyakit, sementara jika terlebih ia memberi mudarat.
Orang Islam percaya madu secara mutlak akan kebenaran firman Allah. Dalam surah an-Nahl ayat 68 hingga 69 dijelaskan bahawa lebah-lebah itu diberi ilham oleh Allah untuk membuat sarang-sarang di bukit-bukit, pohon-pohon kayu dan tempat-tempat yang dibuat manusia. Allah juga memberi ilham kepada lebah untuk memakan sari pati bunga dan buah-buahan. Dan, lebah juga diciptakan untuk sentiasa patuh, menyembah dan bertasbih kepada Allah. Nah… hasilnya adalah madu yang keluar dari perut lebah serta menjadi penawar mujarab bagi manusia.

