Selalunya apabila tiba keputusan peperiksaan SPM diumumkan, macam-macam reaksi dan komen kita baca di laman sosial. Ada yang mengucapkan tahniah kepada anak sendiri, anak saudara atau anak rakan-rakan yang peroleh keputusan cemerlang. Ada juga yang bersedih kerana anak tidak mendapat keputusan seperti diharapkan.
Dalam banyak ulasan yang dikongsi orang ramai, saya tertarik dengan komen sesetengahnya yang mengatakan jangan marah anak yang gagal atau memalukannya dengan membandingkan kecemerlangan kakak atau abangnya.
“Barangkali anak inilah yang akan jaga kita bila tua nanti. Basuh kencing berak mak ayah dia,” lebih kurang begitulah antara komen yang menarik perhatian saya.
Saya bersetuju dengan komen tersebut. Bagi saya kata-kata itu ada benarnya. Kecemerlangan seorang anak dalam pelajaran bukan penentu sikapnya terhadap orang tuanya di kemudian hari. Kerana saya sendiri sudah saksikan kebenaran kata-kata ini dengan mata sendiri.
Saya berasal dari Pahang. Saya teringat satu kisah dahulu. Sewaktu tiba musim durian, selalunya saya akan pulang ke kampung halaman di Raub. Niatnya hendak makan durian puas-puas di dusun milik ayah.
Suatu hari, saya bermotosikal ke dusun durian. Sedang menunggang melalui jalan kebun yang sempit dan hanya bertanah merah, saya berselisih dengan seorang sahabat lama. Namanya, Ibrahim.
Dia muda empat tahun daripada saya. Pun begitu sebab kampung kami hanya sebelah menyebelah, kami saling mengenali satu sama lain. Cuma apabila masing-masing sudah bekerja, kami jarang berjumpa dan melepak seperti zaman bujang dahulu. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri.
“Woi! Ambil durian siapa?” saya menyapa Ibrahim yang mana dia sedang menunggang motosikal turun dari dusun dengan sebakul durian penuh di belakang motosikalnya.
Saya tanya begitu sebab setahu saya Ibrahim tiada dusun durian. Durian siapa pula dibawanya?
“Durian Pak Din,” jawabnya tersengih sambil memulas minyak berlalu pergi tanpa sempat saya bertanya lanjut.
Saya pula terus memulas minyak motosikal memecut melalui tanah merah menuju dusun yang masih jauh. Sesekali enjin saya menjerit kuat apabila tayar terbenam di dalam selut.
Selesai mengutip durian di kebun, saya bergegas mahu pulang. Semasa keluar dari dusun, saya terserempak Ibrahim sekali lagi di depan dusun Pak Din. Dia sedang memasukkan durian ke dalam bakul di belakang motosikalnya.
“Beli durian Pak Din ke?” tanya saya.
“Taklah. Ambil upah angkut durian dia. Jadilah dapat duit sikit,” jawabnya tersenyum.
“Uihh… dah jadi tokeh lori, bagi orang lain buatlah kerja ni,” usik saya padanya.
Ibrahim ketawa terbahak-bahak mendengar usikan saya itu. “Mana ada tokeh. Kita kuli saja,” jawabnya merendah diri.
“Lori mana? Tak bawa?” tanya saya lagi.
“Bagi orang bawa,” jawabnya pendek.
“Tokeh lah tu. Dah ada pekerja,” spontan saya menjawab. Kali ini ketawa Ibrahim makin besar dengan usikan saya tadi.
“Aku balik ni nak jaga mak aku,” beritahu Ibrahim tanpa saya bertanya.
“Kenapa pula?” tanya saya yang mula berminat untuk tahu.
“Mak aku jatuh bilik air. Kaki patah. Abang aku jauh, akak aku pun jauh. Tak ada orang nak jaga, aku baliklah. Boleh juga tengok-tengok mak aku tu. Lagipun orang rumah aku tak kerja, senang sikit,” terang Ibrahim panjang lebar pada saya.
Selepas perbualan itu kami bergerak mengikut hala tuju masing-masing. Tapi saya pula terkesan dengan cerita Ibrahim tadi. Jiwa saya sedikit terjentik.

SAYA kenal Ibrahim sudah lama. Dia anak bongsu daripada empat orang adik- beradik. Kakaknya mengikut suami menetap di Terengganu, seorang abangnya di Kuala Lumpur manakala seorang lagi terlibat dengan najis dadah dan hidup dalam dunianya sendiri. Senang cakap, tak boleh diharap.
Yang buat saya terkesan ialah semua abang dan kakaknya boleh dikata cerdik, belajar agak tinggi ada sijil SPM dan STPM. Hanya Ibrahim yang belajar tidak setinggi mana.
Tak silap saya, Ibrahim sekolah setakat tingkatan tiga sahaja. Apa puncanya dia berhenti sekolah, saya tak pasti. Tapi saya masih ingat, semasa dia mula-mula berhenti sekolah, teruk Ibrahim dileteri ibunya.
“Orang lain semua sekolah, nak pandai. Yang kamu tu nak jadi apa? Susah-susah aku cari duit, tak mahu belajar! Apa nak jadi lepas ni pun tak tahu lah,” marah ibunya satu pagi ketika dia melepak bersama saya dan beberapa orang rakan yang sedang berkumpul sebelum kami berjalan beramai-ramai ke sekolah. Ibrahim pula semasa dimarahi hanya tersengih-sengih.
Selepas berhenti sekolah, Ibrahim lakukan macam-macam kerja. Daripada kerja kampung sehinggalah sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur apabila umurnya mencecah 17 tahun.
Disebabkan tiada kelulusan, dia bekerja bersungguh-sungguh sambil mencari pengalaman dan mengumpul duit. Bekerja sebagai buruh, bergaul dengan pemandu lori dan kontraktor, Ibrahim mula nampak peluang di depan mata.
Selepas beberapa lama bekerja sebagai buruh binaan, Ibrahim mengambil lesen lori GDL bersendi di mana dia layak untuk memandu kenderaan berat. Selepas itu dia membeli sebuah lori dengan cara sewa beli dengan sebuah syarikat yang membekalkan bahan mentah untuk pembinaan.
Kiranya dia bekerja sendiri, dengan menghantar bahan mentah syarikat terbabit ke lokasi pembinaan. Gaji Ibrahim juga agak lumayan yang mana bergantung kepada kerajinan atau tripnya memenuhi permintaan. Kalau dia boleh buat banyak trip, maka banyaklah habuannya.
Hasil bayaran ini, syarikat terbabit akan menolak secara ansuran hutang lori yang dibelinya itu dan kini, lori tersebut telah menjadi kepunyaan Ibrahim.

Apa yang buat saya sangat terkesan ialah sikap Ibrahim kepada ibunya itu. Memang benar dia tidak belajar tinggi, tapi dialah anak yang paling berjasa dan sentiasa ingat kepada orang tuanya berbanding anak-anak yang lain.
Pernah saya tanya kepada orang tua saya fasal Ibrahim dan ibunya. Cerita ayah saya, selama ini segala sakit pening ibunya yang saya panggil Makcik Ani, Ibrahim seorang yang ambil tahu.
Semasa tinggal di Kuala Lumpur, apabila tahu ibunya sakit atau tidak sihat, dialah yang akan balik ke kampung. Ibrahim juga yang memberi nafkah kepada ibunya setiap bulan.
Kini apabila ibunya sakit, kaki patah, dia jugalah yang sanggup berkorban pulang ke kampung berkhidmat untuk orang tuanya itu walaupun belajar tidak setinggi mana.
Sebab itu saya percaya, pencapaian akademik walau dapat 30 A sekalipun untuk dibanggakan, ia bukan satu jaminan seseorang anak itu akan berbudi terhadap orang tuanya kelak. Bagi saya, Makcik Ani sangat beruntung mempunyai anak seperti Ibrahim.
Kiriman – Nizar Ariffin, Raub, Pahang.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

