ANDA suka makan anggur? Tahukah anda, ahli arkeologi mengatakan bahawa buah anggur telah wujud di muka bumi sekitar 130 juta tahun dahulu, iaitu sebelum manusia wujud lagi, menjadikannya salah satu tanaman tertua di planet ini.
Asal usul anggur tidak diketahui secara tepat. Berdasarkan rekod sejarah, tanaman anggur bermula di Timur Tengah sejak tahun 4,000 Sebelum Masihi. Buktinya, ahli arkeologi menemukan biji-biji anggur pada mumia berusia lebih 3,000 tahun yang diduga menjadi bekalan hari kematian mereka. Dan dikatakan lama sebelum itu lagi, buah ini telah menjadi sajian utama bagi masyarakat Yunani dan Mesir kuno.
Kemudian, tanaman anggur tersebar ke beberapa bahagian penjuru dunia, mulai dari Laut Hitam, Sepanyol, Jerman Perancis dan Austria. Pelayaran Colombus juga antara penyumbang kepada penyebaran buah ini.
Hari ini, anggur menjadi antara buah kegemaran ramai. Bukan saja sedap tapi kerana kandungan khasiatnya yang baik untuk kesihatan.
Hisham Tahlbah dalam bukunya bertajuk ‘Ensiklopedia Mukjizat Al-Quran dan Hadis’ menyatakan bahawa anggur mengandungi 15 peratus kadar gula dan ia semakin tinggi seiring usia kematangan buah.
Selain itu, anggur juga didapati mengandungi lemak dan protein melebihi 1.5 peratus. Turut terkandung di dalamnya ialah vitamin B Kompleks berfungsi dalam proses biologi tubuh dan vitamin C untuk meningkatkan kekebalan tubuh.

Ahli botani Muslim, Ibnu Baithar, memberitahu bahawa anggur terbaik adalah yang berukuran besar, kurang biji, kulit nipis dan berwarna kemerah-merahan. Anggur juga telah diteliti antara buah paling bagus terutama untuk menguatkan jantung, meningkatkan libido dan memulihkan orang sakit. Selain merawat penyakit, buah ini turut digunakan sebagai pelembap muka oleh orang-orang terdahulu.
Dr. Bernard Jensen dalam bukunya, Eating Right For Health, Vitality and Longevity dan Food That Heal, mengungkapkan bahawa pengambilan anggur atau jus anggur terbukti dapat menghilangkan rasa penat, meningkatkan tenaga dan kekebalan tubuh. Malah, enzim dalam anggur dapat bertindak sebagai tonik untuk membuang timbunan toksin dan lemak dalam pembuluh darah, seterusnya mencegah pembuluh darah daripada tersumbat.
Sekumpulan pengkaji perubatan daripada bahagian kardiologi University of Wisconsin-Madiso, Jon G Keevil, Jess D. Reed, John D Folts dan Hashim E. Osman, mendedahkan bahawa jus anggur mampu mengelak daripada terjadinya penyakit jantung koroner.
Menerusi kajian itu, mereka telah memberi minum jus anggur dalam sukatan 400 hingga 500 mililiter (ml) kepada lima orang lelaki dan wanita berumur 26 hingga 58 tahun selama tujuh hari berturut-turut. Hasil kajian menunjukkan, sebanyak 77 peratus gumpalan trombosis penyebab masalah jantung koroner dikesan telah hilang.
Justeru ketika memakan anggur, penyelidik menyarankan agar tidak membuang kulit dan biji buah, tetapi harus dikunyah bersama isinya. Ini kerana, kajian yang dijalankan oleh Dr. Jacques Masquelier dari University of Bordeaux, Perancis, mendapati kulit dan biji anggur turut mengandungi khasiat yang luar biasa seperti isinya.
Daripada penelitian itu, Dr. Masquelier menemukan Proantosianidin (OPC), yakni bahan pembentukan pigmen merah antosianin di dalam biji anggur. Kekuatan antioksidan OPC juga diukur sangat luar biasa iaitu 20 kali ganda vitamin C dan 50 kali ganda vitamin E.
Ia juga terbukti mampu mengelakkan penuaan dan meningkatkan keremajaan kulit. Manakala, salah satu unsur polifenol yang terdapat pada kulit anggur turut dikesan dapat bertindak sebagai antikanser.
Begitu banyaknya khasiat anggur ini yang dikaji oleh ahli sains. Namun lama sebelum itu, perihal anggur ini telah disebutkan dalam al-Quran. Buah anggur disebutkan dalam al-Quran sebanyak 14 kali. Salah satunya dalam surah An-Nahl, ayat 11 yang berbunyi…
“Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi mereka yang memikirkannya.” (Surah An-Nahl, ayat 11).
Allah telah menciptakan pelbagai jenis buah-buahan segar untuk umat manusia. Salah satunya ialah buah anggur, buah yang telah dikenali sejak zaman Nabi a.s. lagi. Ia terkenal bukan hanya disebabkan rasanya yang lazat, tetapi kerana manfaatnya daripada segi perubatan yang telah diketahui sejak dahulu.
Hari ini, banyak penemuan sains mendedahkan bahawa buah anggur mengandungi banyak polifenol dan resveratol yang berperanan aktif dalam memperkuatkan sel-sel tubuh. Menakjubkan, unsur ini turut diamati mampu bertindak sebagai antioksidan, mencegah pembentukan sel kanser dan pelbagai penyakit lain.

________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

