Selalu kita lihat orang yang memberi kereta baru mahu memilih nombor pendaftaraan yang cantik. Malah, ada nombor tertentu yang menjadi buruan sehingga terjual ratusan ribu hanya untuk memiliki plat kenderaan yang unik.
Ketepikan soal harga yang mahal untuk nombor plat yang cantik itu. Tahukah anda tentang bagaimana asal usul plat kenderaan bermula? Apa pula makna tanda huruf yang mewakili setiap negeri itu?
Perak adalah negeri pertama yang didaftarkan dengan plat nombor kenderaan. Ini kerana pada zaman dahulu, Perak antara negeri terawal yang berjaya dipengaruhi oleh British kerana kaya dengan bijih timah.
Sebelum meletusnya perang dunia pertama, Perak berkembang maju kerana aktiviti perlombongan. Sebab itu, banyak kenderaan ada di Perak ketika itu. Bukan saja kenderaan yang keluar masuk membawa bijih timah, bahkan kenderaan yang dipandu oleh pegawai-pegawai British. Boleh kata pada waktu itu, Perak dikatakan negeri yang paling banyak kenderaan.
Apabila jalan raya mula dibina, penggunaan kereta semakin meluas. Bermula dari situ, satu sistem pendaftaran untuk kenderaan telah diperkenalkan pada tahun 1945 oleh British.
Perak memulakan sistem itu dan kenderaan di negeri ini didaftarkan dengan permulaan huruf A. Dicatatkan bahawa pendaftaran pertama plat ‘A1’ dimiliki seorang arkitek di Ipoh, iaitu seorang lelaki British bernama Claude Henry Labrooy.

Henry menjadi individu pertama yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan. Nombor pendaftaran A1 diberikan kepada beliau kerana Henry adalah individu pertama yang mendaftarkan kenderaan di Perak, yang merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang memperkenalkan sistem pendaftaran kereta. Sejak itu, nombor plat A1 telah menjadi simbolik (kini nombor ini menjadi milik Sultan Selangor yang dipasangkan pada salah satu koleksi kenderaan Baginda).
Henry juga dikenali sebagai arkitek yang membuat reka bentuk bangunan ‘The Mission House’ di Ipoh pada tahun 1913 (bangunan tersebut kini dikenali sebagai Gereja Gispoel Elim yang terletak di Jalan Cung Thye Phin).
Seterusnya, susunan abjad itu diteruskan dengan abjad ‘B’ untuk Selangor, ‘C’ mewakili Pahang dan ‘D’ untuk Kelantan (plat ‘D’ diberi untuk Kelantan selepas Kelantan dan Terengganu berpisah daripada menggunakan plat ‘T’ yang bermaksud Timur).
Selepas itu, penentuan huruf plat kenderaan diubah mengikut permulaan nama negeri seperti ’K’ untuk Kedah, ‘M’ untuk Melaka, ‘N’ untuk Negeri Sembilan, ‘P’ untuk Pulau Pinang, ‘T’ untuk Terengganu, ‘W’ untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ‘J’ untuk Johor. Hanya Perlis yang menggunakan huruf ‘R’ supaya berbeza dengan Pulau Pinang.
Oh ya, Sabah dahulu menggunakan plat yang bermula dengan huruf ‘E’ sebelum ia ditukar kepada ‘S’ selepas tahun 1980-an. Manakala Sarawak menggunakan huruf ‘Q’.
Selain itu, terdapat juga plat nombor lain yang mewakili agensi tertentu, contohnya ‘Z’ untuk tentera, ‘ZU’ untuk tentera udara, ‘ZL’ untuk tentera laut dan sebagainya. Begitulah kisah awal bagaimana sistem pendaftaran plat kenderaan ini bermula di negara kita.

Fakta Tambahan
- Pemilik kereta pertama di Tanah Melayu ialah seorang peniaga bernama Eu Tong Sen yang tinggal di Perak. Beliau membeli kereta pada tahun 1902. Ketika itu, masih belum ada pendaftaran kenderaan secara seragam dan undang-undang berkaitannya belum diwajibkan. Sebelum penggunaan plet rasmi dikuatkuasakan, ketika itu semua kereta yang berada di Perak menggunakan nombor plat ‘PK’ yang merujuk kepada singkatan perkataan ‘Perak’, termasuk kereta kepunyaan Eu Tong Sen.

- Perancis adalah negara pertama yang memperkenalkan pendaftaran kenderaan menerusi ordinan polis yang dikeluarkan pada Ogos 1983. Namun, Belgium menjadi negara pertama di dunia yang mewajibkan pemilik kenderaan membuat pendaftaran dengan pemasangan plat kenderaan. Mengapa bukan Perancis? Kerana Perancis lambat untuk menguatkuasakan penggunaan plat kenderaan. Walaupun Perancis yang pertama menggubal undang-undang untuk mendaftarkan kenderaan, Perancis hanya berjaya melakukan pelaksanaannya pada tahun 1901.
- Kenderaan tentera di negara kita menggunakan huruf Z sebagai permulaan plat kenderaan mereka. Ia terbahagi kepada beberapa kategori. Contohnya, Z1 dikhaskan untuk Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Manakala huruf ZA, ZB, ZC dan ZD untuk kenderaan tentera darat. Tentera laut menggunakan plat ZL dan ZU mewakili tentera udaraz dan ZZ pula untuk kegunaan penjawat awam yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan.

- Siri pertama plat Kuala Lumpur ialah ‘W’ dan kemudian bertukar menjadi ‘V’ apabila memasuki siri kedua yang bermula pada tahun 2016.
- Ada juga plat khas yang dikeluarkan sempena sesuatu perkara. Contonya 1M4U yang dikeluarkan sempena Pelancaran Kempen 1 Malaysia for Youth. Ada juga plat ‘Putrajaya’ yang dikeluarkan semasa Putrajaya baru dibuka. Ada juga plat Perdana, Satria, Waja, Naza, Perodua, Proton, Lotus, Kriss dan Jaguh yang dikeluarkan sempena nama model sesuatu kenderaan. Ada juga plat seperti SUKOM, X OIC, XIII NAM, XI ASEAN yang dikeluarkan sempena sesuatu persidangan atau festival.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

