SEKUMPULAN murid sekolah rendah berdepan detik cemas apabila van sekolah dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler dalam satu kemalangan di Kilometer 4.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dari Bandar Dato Onn menghala ke Kempas, di Johor Bahru, tengah hari tadi.
Van sekolah yang membawa 22 penumpang itu difahamkan dalam perjalanan mengambil penumpang balik sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau menuju ke Setia Tropika.
Susulan kejadian itu, pemandu van wanita berusia 45 tahun, dua kanak-kanak perempuan dan seorang murid lelaki dilaporkan mengalami kecederaan.
Manakala 19 lagi murid sekolah yang turut menaiki van itu dilaporkan selamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhamad Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 1.10 tengah hari tadi.
Susulan itu sepasukan anggota dari BBP Tebrau serta BBP Kempas bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu van sekolah dan treler membawa muatan simen.
“Seramai 22 murid sekolah dalam van sekolah berkenaan dengan pemandu wanita berusia 45 tahun didapati tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan.
“Tiga murid turut mengalami kecederaan ringan, masing-masing membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, manakala 19 pelajar lain tidak cedera,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Katanya, kesemua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan sementara pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

