SEORANG pekerja kedai runcit mengalami kecederaan di belakang badan selepas dilibas dengan sebilah pedang ketika disamun di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe memaklumkan, pekerja kedai runcit itu disamun oleh sekumpulan empat lelaki dalam kejadian pukul 8.45 malam itu.
Menurut beliau, kesemua empat suspek itu datang ke kedai runcit tersebut dengan memakai topi keledar, topeng, jaket dan bersarung tangan serta menaiki sebuah Perodua Bezza putih.
Katanya, salah seorang daripada penjenayah itu bersenjatakan pedang dan telah bertindak melibas pekerja tersebut.
“Mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 20-an.
“Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat dilibas dengan pedang ketika aktiviti menyamun itu.
“Suspek kemudian telah melarikan diri bersama wang tunai,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Brandon memaklumkan, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Baling selain mengalami kerugian sejumlah wang tunai.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.
Jelas beliau, polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

