BAHAN Penderaan Seksual Kanak-Kanak atau CSAM adalah satu isu serius yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat kita.
CSAM merujuk kepada sebarang bentuk bahan yang menunjukkan penderaan seksual ke atas kanak-kanak, sama ada dalam bentuk gambar, video atau bahan digital lain.
Kesedaran tentang bahaya dan kesan buruk CSAM sangat penting kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsa, tetapi juga memberi impak negatif kepada masyarakat secara keseluruhan.
Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 sebagai langkah proaktif melindungi rakyat di alam siber.
Kempen ini memberi tumpuan kepada isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital dan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Ia menyasarkan pelbagai golongan termasuk pelajar, ibu bapa, guru, warga emas dan komuniti setempat agar celik digital dan lebih berwaspada semasa melayari internet.
Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan modul keselamatan digital untuk murid bawah 13 tahun, latihan kepada guru dan ibu bapa, serta pertandingan seperti Choral Speaking dan Menu Viral yang memupuk amalan ‘Semak Sebelum Sebar’.
MCMC turut melantik Ikon Internet Selamat dalam kalangan pelajar sebagai duta kecil keselamatan siber.
KIS disasarkan kepada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah, termasuk institusi pengajian tinggi dan pusat latihan guru.
Selain itu, kempen ini diperluas ke peringkat komuniti melalui kerjasama dengan Kelab Rukun Tetangga, JKKK dan NGO bagi memastikan mesej keselamatan digital sampai ke akar umbi.
Setakat pertengahan 2025, MCMC telah menurunkan lebih 40,000 kandungan palsu dan penipuan dalam talian.
Ini membuktikan kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan internet yang lebih selamat kepada rakyat, khususnya anak-anak.
Namun begitu, kejayaan kempen ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, komuniti dan pengguna sendiri.
Oleh itu, menangani masalah ini bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, tetapi memerlukan kerjasama dan kesedaran dari semua lapisan masyarakat.
Dengan memahami dan mengambil tindakan bersama, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Yusof Zulkefli berkata, anak-anak dapat dilindungi daripada ancaman tersebut dan membina persekitaran yang lebih selamat untuk generasi akan datang.
Menyentuh mengenai peranan ibu-bapa, beliau berkata, antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan memantau aktiviti digital anak-anak secara berterusan sehingga mencapai usia matang.
Jelas beliau, inisiatif itu boleh dilakukan menerusi penggunaan perisian kawalan ibu-bapa (parental control apps) untuk memantau laman web, aplikasi dan waktu skrin anak-anak mereka.
“Ibu-bapa perlu periksa senarai rakan maya, permainan yang dimainkan dan kandungan yang mereka kongsi atau tonton. Langkah untuk menetapkan zon bebas gajet di rumah seperti semasa makan malam dan sebelum tidur juga boleh dilakukan untuk menggalakkan komunikasi fizikal.
“Komunikasi terbuka seperti bercakap secara terus terang dan konsisten tentang risiko dunia maya seperti grooming, sextortion, dan pornografi juga boleh dilakukan dengan lebih awal kepada anak-anak. Gunakan bahasa yang sesuai mengikut umur, dan jangan memarahi jika anak mengadu sesuatu. Perlu beri ruang yang selamat untuk melapor,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, ibu-bapa juga perlu mendidik tentang keselamatan siber dan batasan fizikal kepada anak-anak seperti konsep sentuhan selamat dan tidak selamat serta hak mereka untuk menolak.
Katanya, anak-anak juga perlu dilatih untuk mengenal pasti isyarat bahaya dalam komunikasi digital seperti permintaan gambar peribadi atau janji manis dari orang yang tidak dikenali.
Guru, komuniti pelengkap perisai anak-anak
Mohd Yusof menambah, peranan guru dan komuniti juga penting untuk melengkapkan sistem perisaian anak-anak terhadap CSAM.
Bagi peranan guru, Mohd Yusof berpandangan adalah wajar untuk mewujudkan integrasi keselamatan digital dalam kurikulum seperti sesi pembelajaran khas tentang privasi digital, bahaya berkongsi maklumat peribadi, teknik mengenal pasti dan melawan buli siber serta eksploitasi seksual.
Beliau berkata, para guru juga boleh menggunakan pendekatan berbentuk aktiviti interaktif, simulasi dan perbincangan kumpulan kecil mengenai CSAM.
“Guru juga perlu menjadi sumber sokongan emosi dan saluran melapor buat anak-anak. Bina hubungan kepercayaan dengan pelajar supaya mereka berani berkongsi pengalaman atau ketakutan mereka.
“Selain itu, sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar. contohnya, pelajar menjadi murung, murung, atau terlalu pendiam yang mungkin petunjuk trauma digital.
“Pihak berkenaan juga perlu melatih guru kaunseling dan guru kelas untuk mengurus kes melibatkan penderaan seksual digital secara profesional dan rahsia,” katanya.
Bagi peranan komuniti, Mohd Yusof berkata, setiap aktiviti mencurigakan perlu dilaporkan yang mana kumpulan ini perlu sentiasa berwaspada terhadap individu mencurigakan yang mungkin cuba mendekati kanak-kanak secara digital atau fizikal.
Beliau berkata, orang awam boleh menggunakan saluran rasmi seperti Portal MCMC, Cyber999 (CyberSecurity Malaysia), Talian Nur 15999, Balai polis terdekat
Pada masa sama, katanya, komuniti juga boleh menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti yang dilakukan di luar negara.
“Wujudkan jaringan komuniti seperti Kumpulan Ibu Bapa & Guru (PIBG), Rukun Tetangga, atau surau dan masjid untuk mengadakan bengkel atau sesi kesedaran keselamatan digital. Sokong inisiatif seperti Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 dengan menyertai kempen, forum awam dan latihan yang ditawarkan.
“Komuniti juga perlu sedar bahawa CSAM ini memerlukan kesedaran kolektif dan tindakan segera secara bersama. Tiada satu pihak pun boleh melindungi kanak-kanak secara bersendirian.
“Usaha mencegah dan membanteras penderaan seksual digital memerlukan kesedaran kolektif yang mana setiap orang sedar akan peranan mereka, bukan menuding jari.
“Kemudian adanya tindakan proaktif yang bertindak walaupun belum ada jenayah berlaku. Ini dinamakan cegah sebelum parah,” katanya.
Kempen Internet Selamat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Dalam pada itu, Mohd Yusof berpandangan KIS 2025 yang dilaksanakan MCMC sebagai sangat penting terutama dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
KIS 2025 yang telah dilaksanakan sejak Januari lalu memberi tumpuan kepada beberapa isu keselamatan dalam internet termasuk CSAM.
KIS yang telah dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 21 Januari lalu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan internet melalui advokasi dan penglibatan komuniti.
Kempen berkenaan menyasarkan sebanyak 10,000 buah sekolah dan institusi awam di seluruh negara.
Turut diberi tumpuan dalam kempen ini adalah penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.
Lebih 460,000 kandungan diturunkan MCMC sejak 2024
MCMC terus mempergiat usaha membanteras kandungan berbahaya dalam talian dengan merekodkan lebih 460,000 kandungan telah diturunkan dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini, membuktikan komitmen berterusan kerajaan terhadap keselamatan digital rakyat.
Sepanjang 2024, sebanyak 309,322 permohonan penurunan kandungan telah diterima melibatkan empat kategori utama: perjudian, penipuan, buli atau gangguan, serta kandungan jelik yang melibatkan kanak-kanak. Daripada jumlah itu, 289,287 kandungan berjaya diturunkan.
Perjudian dalam talian kekal sebagai kategori tertinggi dengan 196,510 permohonan dan 189,484 kandungan berjaya diturunkan.
Penipuan siber (scam) pula menyumbang 66,507 permohonan dan 63,652 kandungan diturunkan. Bagi kandungan berkaitan buli dan gangguan, MCMC menerima 11,385 permohonan, dengan 8,756 kandungan disekat.
Dalam usaha melindungi golongan rentan, 810 daripada 815 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak turut berjaya diturunkan.
Memasuki separuh pertama 2025, usaha ini diteruskan dengan ketegasan jelas daripada MCMC. Setakat 26 Jun, MCMC telah menerima 188,528 permohonan penurunan, dengan 173,642 kandungan telah berjaya diambil tindakan.
Sekali lagi, kandungan perjudian kekal mendominasi dengan 96,240 permohonan, dan 90,770 daripadanya berjaya diturunkan. Penipuan terus menunjukkan trend membimbangkan dengan 45,933 permohonan, menghasilkan 43,865 tindakan penurunan.
Menariknya, kes buli atau gangguan menunjukkan peningkatan mendadak dengan 24,283 permohonan—lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 19,440 kandungan berjaya diturunkan. Namun begitu, kandungan jelik melibatkan kanak-kanak yang dimohon diturunkan menurun kepada hanya 74 kes, dengan 21 daripadanya berjaya disekat.
Jumlah keseluruhan tindakan penurunan sepanjang tempoh 1 Januari 2024 hingga 26 Jun 2025 mencecah lebih 462,929 kandungan, menandakan peningkatan kecekapan dan ketegasan agensi dalam melindungi warganet daripada ancaman siber.
Langkah ini sejajar dengan agenda KIS 2025, yang bukan sekadar memberi kesedaran, tetapi juga memacu tindakan bersepadu dalam menjamin ruang digital yang lebih bersih dan selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan remaja.
MCMC menyeru kerjasama berterusan daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan internet terus menjadi ruang yang positif, selamat dan membina.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

