SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat di sini, susulan aduan berhubung masalah perkhidmatan selular yang tidak memuaskan.
Tindakan itu dibuat selepas MCMC mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini susulan aduan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas serta penduduk setempat mengenai isu liputan komunikasi yang menjejaskan pengguna.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi dijalankan di tiga lokasi dikenal pasti dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat.
Menurutnya, hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji gagal memenuhi standard mandatori ditetapkan suruhanjaya itu.
“Dapatan pengujian berkenaan sudah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut.
“Penyedia perkhidmatan turut diberikan tempoh tujuh hari bekerja bagi mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian berkenaan,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, notis mengikut Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
Bagi mempercepat proses penambahbaikan, MCMC mengarahkan CelcomDigi melaksanakan langkah meningkatkan liputan rangkaian selain menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan panjang.
Pada masa sama, Maxis pula diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.
MCMC menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan berkesan serta penduduk menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

