MAJLIS sambutan ulang tahun ke-48 pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berlangsung cukup meriah bertemakan Malam Gala Jazz, malam tadi.
Paling mencuri perhatian 150 orang tetamu yang hadir pada acara itu apabila Haliza menyarung adi busana yang direka khas oleh Rumah Fesyen Faizuluziaf yang mewarisi legasi mewah jenama RI Couture.
Busana mewah itu diinspirasikan daripada konsep fine tailoring dengan potongan dress yang menampilkan sentuhan bespoke men suitnamun diolah feminin dengan siluet klasik Dior era 1920-an, sebuah gabungan yang cukup berani, sofistikated dan timeless.
Palet warna pula menampilkan gabungan rona mewah ‘charcoal grey’ bersama sentuhan hitam, diperkemaskan dengan fabrik sutera wool, renda Perancis dan taburan batuan kristal Swarovski yang menggabungkan 8 jenis batuan Swarovski yang berbeza bentuk dan saiz!
Adi busana yang memakan masa dua bulan itu bernilai RM71,100.00 dan jumlah harga untuk batuan Swarovski bernilai RM80,000 sekaligus menjadikan nilai keseluruhan busana ini ialah RM151,100.00.
Kek hari lahirnya turut dihiasi hampir 11,000 kristal Swarovski dan dianggarkan berharga RM 14,800!

Sementara itu, Haliza turut melancarkan dua koleksi tudung diberi nama Nafas Maysuri melambangkan nafas baru dalam hidup dan perniagaannya dan Nadi Maysuri menggambarkan nadi kehidupan semangat dirinya.
Kemuncak majlis itu, Haliza diberi kejutan hadiah motorhomes mewah daripada suami tercinta.
Pada awalnya, suaminya itu ingin menghadiahkan sebuah kapal persiaran mewah namun niat itu terpaksa dibatalkan disebabkan Haliza mempunyai masalah mabuk laut.
“Syukur yang tidak terhingga atas setiap doa dan hajat yang Allah kabulkan. Diberi kesihatan yang baik, umur yang panjang, anak-anak yang bijak, rezeki perniagaan yang bercahaya dan suami yang setia di sisi.
“Nikmat Allah ini terlalu luas untuk digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih wahai diriku sendiri kerana tetap berdiri walau pernah rebah, tetap berjuang walau pernah terluka, tidak pernah berhenti bermimpi walau jalannya penuh duri,” katanya.

