PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri dibuat secara sulit dan bebas daripada sekatan whip.
Cabaran itu disuarakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tun Faisal mendakwa, Anwar tidak akan berani sekiranya usul undi tidak percaya itu dilakukan bebas daripada sekatan whip.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak berani membenarkan usul sedemikian kerana menyedari kemungkinan bakal hilang jawatan dan Kerajaan Perpaduan pula akan tumbang.
Menurut Tun Faisal, sekiranya perkara itu dilakukan, Malaysia akan mempunyai Perdana Menteri dan kerajaan baharu.
“Kalau PM10 (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim berani, buatlah undian tidak percaya secara sulit dan bebas daripada sekatan whip. Anwar berani tak? Tidak mungkin Anwar berani.
“Kenapa? Sebab, hari ini buat undi tidak percaya secara sulit dan tanpa sekatan whip, esok, insya-Allah negara akan dapat PM11 dan kerajaan baharu,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Baca artikel lain: ‘Saya tunggu usul undi tidak percaya’ – Anwar
Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa, Perdana Menteri tidak mungkin berani berbuat demikian memandangkan terdapat dakwaan dari blok kerajaan sendiri yang mana Langkah Dubai yang dirancang sebelum ini mampu mengumpul 123 sokongan ahli Parlimen untuk mencalonkan Perdana Menteri baharu daripada Perikatan Nasional (PN).
“Memandangkan Anwar tidak mungkin berani mengadakan undian tidak percaya secara sulit dan bebas daripada sekatan whip maka 26 Julai 2025 ini, rakyat akan terus berhimpun dan mendesak Anwar turun dan meletakkan jawatan,” katanya.
Pagi tadi, Anwar menegaskan tidak mempunyai halangan sekiranya pembangkang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.
Malah, Anwar memaklumkan telah memberitahu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membenarkan usul tersebut sekiranya ada dikemukakan di Parlimen.
Bagaimanapun, Perdana Menteri meluahkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan terus bertahan dengan majoriti besar dua pertiga yang dipertahankan ketika ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

