Kalau sebut kedai kasut BATA, mesti semua tahu, bukan? Jenama kasut yang sudah dikenali sejak zaman dahulu dan masih kekal relevan sehingga ke zaman sekarang.
Siapa yang membesar zaman tahun 80-an atau 90-an dulu? Pada zaman itu, kedai kasut Bata ni kira hot. Ibaratnya kalau pakai kasut sekolah yang dibeli di Bata, memang rasa bergaya habis.

Kedai Bata ni banyak kenangan dalam memori hidup kita. Zaman dulu, ada yang sanggup menabung sebab nak beli kasut Bata. Kalau pakai kasut Bata, sudah rasa bergaya sangat, hendak pula kalau ada awek pandang.
Kalau anda nak tahu, kedai Bata pertama dibuka di negara kita pada tahun 1930 di bangunan Capitol di Singapura. Masa itu kita dikenali sebagai Tanah Melayu, belum lagi wujud nama Malaysia.
Lima tahun selepas itu, kilang kasut Bata mula beroperasi di Klang, Selangor. Kilang ni bukan hanya buat kasut untuk pasaran negara kita saja, tapi juga untuk pasaran luar negara.
Anda tahu siapa Bata?
Mari kami ceritakan. Orang yang bertanggungjawab membina empayar kasut Bata ni ialah Tomas Bata, lelaki yang berasal dari Zlin, Czechoslovakia (kini disebut sebagai Republik Czech), negara tanpa pantai yang terletak di Eropah Tengah.

Tomas memang lahir dari keluarga yang mahir membuat kasut secara turun temurun sejak 300 tahun sebelumnya. Sudah lapan generasi keluarganya membuat kasut.
Tomas menubuhkan syarikat kasutnya (Bata Shoes Company) pada tahun 1894 dengan sedikit modal, termasuk meminjam wang dari ibunya. Dia dan adik beradiknya mengusahakan syarikat kasut ini yang awalnya mula beroperasi dalam sebuah ruang kecil dengan hanya empat orang pekerja saja.
Hasil kesungguhan mereka, kilang Bata pertama mereka dibina pada tahun 1900 dan kasut mereka mula dipasarkan di negara jiran seperti Jerman, negara Balkan dan Timur Tengah. Makin lama, perusahaan Bata makin berkembang.

Kemudian, tercetus perang dunia pertama pada tahun 1914. Walaupun perang, tapi Bata menerima banyak tempahan kasut (untuk para askar). Masa itu, Bata mampu hasilkan 10 ribu pasang kasut sehari dengan lebih 5,000 tenaga kerja.
Tapi, walaupun banyak tempahan, berlaku lambakan hutang bila penghantaran stok kasut banyak yang tidak berbayar. Pun begitu, di bawah kepimpinan Tomas yang banyak membuat revolusi baru dalam pengurusan, rangkaian Bata terus meluas dan menjadi syarikat pengeluar kasut terbesar untuk golongan bawahan.

Pada tahun 1932, Tomas mati apabila pesawat dinaikinya terhempas kerana cuaca buruk. Anak lelakinya, Thomas J.Bata mengambil alih kepimpinan. Dan ketika perang dunia kedua meletus, perniagaan Bata di Eropah terjejas teruk.
Lantas, Thomas mengambil inisiatif dengan meneroka pasaran lain di luar benua Eropah, antaranya di Asia, Timur Tengah dan Afrika. Dia turut memindahkan ibu pejabat pengurusan Bata dari Czech ke Kanada.
Ternyata idea Thomas mendatangkan hasil lumayan apabila Bata meletup di seluruh dunia dan tidak lagi sekadar tertumpu di benua Eropah semata-mata.

Kira jenama Bata ni memang old school lah yeop. Budak-budak zaman sekarang mungkin tak pandang dah, tapi masa zaman kami budak-budak 80-an dan 90-an dahulu membesar, kira hebat lah siapa yang dapat pakai Bata ni. He he he…
Oh ya, pada Mei 1995, muzium kasut Bata dibuka di Toronto, Kanada. Muzium ini jadi tumpuan peminat kasut dari seluruh dunia. Selain koleksi Bata, pelbagai koleksi kasut dari seluruh dunia turut dipamerkan di sini. Ada koleksi kasut antik termasuk dari awal kurun peradaban manusia yang usia kasut itu sudah mencecah 4,500 tahun.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

