Makapuʻu Lookout terletak di hujung tenggara Pulau Oʻahu di Hawaii, Amerika Syarikat. Ia merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancong kerana panorama indahnya yang menghadap Lautan Pasifik yang kebiruan.
Merupakan sebahagian daripada Taman Rekreasi Negeri, di sini juga terdapat rumah api Makapuʻu. Ramai orang datang sini untuk melihat ikan paus, mengabadikan kecantikan alam sambil menghirup udara laut yang tenang.

Namun, di sebalik keindahan itu tersimpan satu kisah legenda. Untuk sebahagian orang terutama penduduk tempatan, lokasi ini bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi ia dikatakan kawasan yang dihuni oleh roh pendendam.
Roh itu pula bukan mengganggu semua orang, tetapi ada pilihannya juga. Kononnya roh pendendam itu akan mengganggu lelaki yang curang atau suka mempermainkan cinta!
Menurut cerita, roh yang digambarkan sebagai hantu wanita ini selalu muncul di depan lelaki yang suka bermain kayu tiga. Kononnya, ia akan muncul semasa malam bulan penuh dengan angin bertiup kencang.

Tragedi Korban Cinta
Kisah seram di Makapuʻu Lookout ini dikaitkan dengan cerita yang bermula sekitar awal tahun 1900-an, semasa rumah api Makapuʻu masih dalam pembinaan (dibina tahun 1909).
Diceritakan ketika itu ada seorang wanita yang jatuh cinta dengan salah seorang pekerja binaan rumah api tersebut. Namun akhirnya, lelaki itu meninggalkan wanita tersebut begitu saja tanpa khabar berita.
Kerana kecewa dan patah hari, akhirnya wanita tu memanjat tebing curam dan terjun, mengakhiri riwayat hidupnya dengan hati yang hancur. Ada yang kata, sebelum terjun wanita itu sempat melafazkan sumpah dendamnya terhadap lelaki yang mempermainkan cinta wanita.
Selepas kejadian itu, dikatakan semakin ramai wanita yang mengikut jejak langkahnya. Makapuʻu menjadi lokasi pilihan mereka untuk menamatkan nyawa hanya kerana kecewa bercinta.
Disebabkan itu kawasan ini sering disebut menjadi tempat antara dunia hidup dan mati, tempat yang menyimpan kesedihan dengan roh-roh yang tidak tenang.

Wanita Tua Berbaju Putih
Ada juga yang menceritakan sering ternampak bebola api berwarna putih terapung-apung di udara di kawasan ini. Penduduk tempatan percaya itu adalah Akua’lele, sejenis sihir kuno yang diamalkan oleh pengamal ilmu hitam Hawaii zaman dahulu.
Selain itu, ada juga kisah wanita tua berbaju putih yang sering menahan kereta. Masyarakat di sana mengaitkan jelmaan wanita itu ialah roh Madame Pele.
Dalam legenda Hawaii, Madame Pele ialah dewi api, kilat, angin dan gunung berapi. Madame Pele dihormati sebagai pencipta Kepulauan Hawaii, khususnya gunung berapi Kilauea dan dipercayai tinggal di dalam perut gunung berapi tersebut.

Makapuʻu Lookout juga dikatakan bukan sekadar lokasi yang indah untuk bergambar. Ia juga dikaitkan sebagai tempat yang dipenuhi kedukaan. Segelitir pelancong menceritakan, apabila sampai situ, tiba-tiba mereka berasa sedih. Ada pula yang mendengar suara bisikan aneh dari arah angin yang bertiup, seolah-olah ada sesuatu yang sedang berbicara.
Rumah Api Berhantu
Rumah api Makapuʻu yang terletak di bahagian hujung timur pulau tersebut turut ada cerita tersendiri. Rumah api itu tidak lagi digunakan sejak 1974, namun ramai yang mengatakan tempat itu masih dihuni oleh roh penjaganya.
Nama penjaga rumah api itu ialah John Peterson. Beliau mula bekerja di situ pada awal 1900-an. Digambarkan sebagai seorang yang tegas dan berdedikasi, namun suatu hari Peterson jatuh dari tebing dan mati. Ada yang mengatakan itu adalah kemalangan, tetapi ramai juga yang berpendapat Peterson membunuh diri kerana ada masalah peribadi.

Selepas Peterson mati, ramai pengunjung mendakwa mereka melihat kelibat lelaki misteri berjalan-jalan di kawasan rumah api itu dan tiba-tiba ghaib. Ada juga yang mendengar bunyi tapak kaki, pintu terbuka dan tertutup sendiri. Semua keanehan itu dikaitkan dengan roh Peterson.
Makapuʻu Lookout bukan sekadar tempat menikmati keindahan alam yang memukau. Kisah-kisah misteri yang menyelubunginya turut menambah warna pada daya tarik tempat ini. Sama ada benar atau sekadar cerita turun-temurun, gabungan antara keajaiban semula jadi dan kisah misterinya menjadi identiti unik lokasi ini.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

