Isma cari Zayn Rayyan di serata tempat kecuali kebun dekat Blok R kerana tidak tahu ia wujud

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

IBU kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bahawa dia telah berusaha mencari anak sulungnya itu di kesemua kawasan yang pernah dikunjungi mereka pada hari kehilangan kanak-kanak itu pada Disember 2023.

Ismanira Abd Manaf, 30, memaklumkan demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Katanya, selepas kehilangan Zayn Rayyan pada sekitar jam 12 tengah hari 5 Disember 2023, dia telah berusaha mencari kanak-kanak itu di sekeliling dan setiap aras Blok R serta setiap blok lain di Apartmen Idaman, di Damansara Damai.

Dia turut memberitahu mahkamah bahawa dia bersama-sama suaminya juga cuba mengesan keberadaan Zayn Rayyan antaranya di kedai dan gerai di bawah Blok A Apartmen Idaman, di sekolahnya, di sekitar Apartmen Harmoni, di sebuah stesen minyak serta restoran makanan segera, dan di sekitar bangunan tempatnya bekerja yang terletak berhampiran apartmen kediaman mereka.

Bagaimanapun dia mengakui bahawa tidak mencari Zayn Rayyan di sekitar kebun berdekatan Blok R di mana kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia memandangkan tidak pernah membawa anaknya itu ke kawasan tersebut ekoran tidak pernah tahu kewujudan kebun terbabit sepanjang mendiami apartmen berkenaan.

Menurut Ismanira, dia cuba mengesan Zayn Rayyan di kawasan-kawasan berkenaan memandangkan dia biasa membawa anaknya itu kesana, selain Zayn Rayyan gemar untuk ke tempat-tempat terbabit.

Raja Zaizul: Pernah berjalan kaki bersama Zayn Rayyan ke tempat-tempat ini?

Ismanira: Pernah, ketika saya membawa Zayn Rayyan ke tempat kerja. Seingat saya, dua kali.

Raja Zaizul: Puan cari Zayn Rayyan di tempat-tempat ini sebab Zayn pernah atau suka pergi. Tapi bukan sebagai rutin harian untuk Zayn pergi ke tempat-tempat ini, setuju?

Ismanira: Setuju

Raja Zaizul: Setuju atau tidak dengan saya bahawa pada setiap masa, Zayn tidak pernah pergi seorang diri?

Ismanira: Setuju.

Raja Zaizul: Tempat-tempat ini semua sebenarnya lagi jauh dari Blok R Apartmen Idaman. Jika nak dibandingkan jarak antara kebun dengan blok R setuju?

Ismanira: Setuju.

Raja Zaizul: Jadi setuju atau tidak puan tak cari Zayn Rayyan di kawasan terdekat dengan Blok R (kebun), tetapi cari di kawasan yang lebih jauh?

Ismanira: Setuju.

Isnin lepas Ismanira diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan mengabai Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie ke atasnya manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja lelaki maut terlanggar kerbau melintas jalan di Jelebu

DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi masing-masing merempuh seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 11...

More Articles Like This