“MAHKAMAH terbaik”.
Demikian reaksi ringkas secara sinis bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan isterinya, Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun sementara menunggu proses rayuan.
Zaim Ikhwan yang kelihatan kecewa dengan keputusan itu kemudiannya berlalu pergi selepas memberikan reaksi demikian kepada pihak media.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Ismanira, 30, untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan pada 31 Oktober lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan itu selepas mengambil kira dan meneliti beberapa alasan dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan serta peguam bela.
Dalam pada itu, Zahari Mohd Reba, 57, yang juga bapa Zaim Ikhwan turut enggan memberikan sebarang komen berhubung keputusan mahkamah itu.
“No (tiada) komen,” katanya ringkas.
Pada 19 November lalu, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan mengabaikan anak lelakinya itu.
Baca artikel lain: Kes Zayn Rayyan: Permohonan Ismanira tangguh hukuman penjara ditolak
Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya yang juga kanak-kanak autistik sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Oktober lalu, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
‎Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

