‘Saya tidak percaya Isma, Zaim abai Zayn Rayyan’ – Datuk

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

Datuk kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menyifatkan menantu dan anak sulungnya sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi arwah.

Oleh itu Zahari Mohd Reba, 57, berkata dia sukar untuk mempercayai bahawa pasangan suami isteri itu telah melakukan pengabaian terhadap Zayn Rayyan sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap arwah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, pada prosiding membela diri melibatkan wanita itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Terdahulu Haresh menyoal Zahari berhubung perasaannya apabila suspek yang membunuh cucu sulungnya itu masih belum dikenal pasti dan dituduh di mahkamah.

“Arwah Zayn Rayyan merupakan cucu kesayangan saya. Setiap hujung minggu sekiranya ibu dan bapanya tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah saya dan bermesra.

“Saya kecewa kerana kedua-dua tertuduh (Isma dan Zaim Ikhwan Zahari) merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi arwah Zayn Rayyan. Saya tidak percaya dengan pertuduhan pengabaian yang didakwa ke atas mereka,” ujar Zahari ketika memberikan keterangannya selaku saksi pembelaan kedua.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Zahari turut bersetuju apabila disoal berkenaan keakraban antara Zayn bersama-sama ibu bapanya.

Raja Zaizul: Hubungan Zayn dan ibu bapanya akrab, setuju?

Zahari: Setuju.

Raja Zaizul: Kenapa Encik Zahari cakap begitu?

Zahari: Sebab Zayn merupakan kanak-kanak autism, jadi perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya amat teliti terhadapnya.

Raja Zaizul: Zayn Rayyan ada adik bernama Zahin Matin yang juga merupakan kanak-kanak istimewa. Adakah Encik Zahari nak katakan bahawa layanan itu lebih kepada Zayn Rayyan?

Zahari: Bagi saya, sama sahaja.

Dalam pada itu ketika disoal oleh Raja Zaizul berapa kali beliau pernah pergi ke kediaman keluarga Zayn Rayyan di Blok R, Apartmen Idaman di Damansara Damai, Zahari menjawab pernah antara dua hingga tiga kali.

Raja Zaizul: Sepanjang keluarga ini tinggal di Blok R Apartmen Idaman sejak November 2021 sehingga Disember 2022 berapa kali Encik Zahari pergi ke kediaman mereka.

Zahari: Pernah dua hingga tiga kali. Pernah juga bermalam di sana sekali.

Raja Zaizul: Jadi, jika dua hingga tiga kali… agak tidak kerap, setuju?

Zahari: Setuju.

Raja Zaizul: Jadi apa yang Encik katakan tadi adalah daripada apa yang Encik Zahari nampak sahaja. Setuju?

Zahari: Setuju.

Isnin lepas Ismanira diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan mengabai Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie ke atasnya manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

162 bekas tentera wanita disaring, hanya 16 dipilih warden MRSM

SERAMAI 162 calon warden wanita Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kalangan bekas tentera telah pun menjalani sesi saringan,...

More Articles Like This