Ayat-ayat al-Quran bukan hanya mendidik manusia untuk mengenal Allah dan menjalani cara hidup berlandaskan syariat Islam, malah ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran juga turut mengajar tentang pendidikan kewangan. Antara yang ditekankan ialah mengenai persoalan hutang, belanja berhemat dan keperluan menabung.
Peringatan terkait hutang
Di dalam al-Quran terdapat tujuh ayat yang membincangkan persoalan hutang iaitu dalam surah al-Baqarah ayat 278, 280, 282 dan 283. Surah an-Nisa’ ayat 11 dan 12, serta surah at-Taubah ayat 60.
Ayat 283 dalam surah al-Baqarah merupakan ayat paling panjang dalam al-Quran. Jika kita merujuk pada al-Quran Resam Uthmani, hanya satu ayat ini sahaja telah dimuatkan dalam satu muka surat al-Quran. Dalam ayat ini, ia mengupas dengan terperinci dan begitu tersusun mengenai peraturan berhutang.
Justeru alangkah baiknya jika kita dapat berfikir kenapa Allah S.W.T. begitu menitik berat soal hutang ini sehingga ayat yang terpanjang dalam al-Quran menyentuh tentang hutang dan bukannya persoalan lain dalam kehidupan manusia, atau persoalan yang kita anggap lebih besar seperti soal pemerintah negara, ataupun tentang penggubalan hukum-hakam tertentu.
Kita sebagai manusia yang beriman dan boleh berfikir perlu menghayati sedalam-dalamnya kenapakah Allah begitu memperincikan soal hutang atau dengan lain perkataan soal kewangan dalam al-Quran khususnya menerusi ayat 283 surah al-Baqarah.
Keperluan untuk menyimpan atau menabung
Tujuan menyimpan dan menabung secara amnya adalah untuk perbelanjaan pada masa hadapan atau sekiranya berlaku kecemasan. Dengan adanya simpanan, kita tidak perlu mencari sumber-sumber lain contohnya daripada sumber hutang atau terpaksa menjual harta-harta lain yang kita perlukan semata-mata untuk memenuhi keperluan perbelanjaan yang mendesak atau kecemasan.
Dalam hal ini, Allah telah menurunkan dua ayat yang cukup indah dan cocok dengan kehidupan manusia pada hari ini iaitu dalam surah Yusuf ayat 47 dan 48,
“Yusuf menjawab, “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makanan.
“Kemudian akan datang selepas tempoh itu tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)”
Kedua ayat ini begitu jelas dan tersusun untuk menyeru manusia agar sentiasa mengamalkan tabiat menyimpan atau menabung demi memenuhi keperluan masa hadapan yang tidak menentu.
Berbelanja secara berhemat
Satu lagi aspek yang ditekankan dalam pendidikan kewangan peribadi ialah tentang keperluan untuk berbelanja secara berhemat atau dengan kata lain perlu mengelak daripada berbelanja berlebihan dan jangan boros atau membazir.
Kita juga diingatkan supaya berbelanja mengikut kemampuan seadanya, atau jangan berbelanja melebihi pendapatan. Dalam hal ini terdapat tiga ayat dalam al-Quran yang memberi panduan kepada kita agar menghindari daripada sikap pembaziran dan pemborosan. Antara ayat yang menjadi panduan ialah:
Pertama: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau” (al-Isra’: 26)
Kedua: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (al-Isra’: 27)
Ketiga: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas, dan tiada bakhil kedekut. Dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu” (al-Furqan: 67)
Oleh itu pengurusan kewangan peribadi merupakan satu keperluan penting untuk setiap individu atau isi rumah. Panduan dari pada al-Quran seperti yang dibincangkan di atas membuktikan betapa perlunya manusia menguruskan kewangannya dengan cekap dan berkesan demi kesinambungan hidup dalam menghadapi cabaran ekonomi yang berubah-ubah. Wallahu a’lam
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

